HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2010

Faekah: Tindakan Umno politikkan isu MP Serdang malukan Islam

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan Selangor menyifatkan tindakan Umno mempolitikkan isu kehadiran Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching bagi menyampaikan sumbangan di Surau Al-Huda, Kajang minggu lalu keterlaluan dan memalukan umat Islam, kata pegawai Menteri Selangor hari ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata, apatah lagi tindakan pantas Teo memberi penjelasan dan memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan seluruh umat Islam sepatutnya diterima semua pihak dengan terbuka.

“Tindakan wakil rakyat itu sepatutnya telah memadamkan sebarang unsur prasangka terhadap mana-mana pihak,” kata Faekah dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Katanya, ia juga menunjukkan komitmen pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk menyelesaikan isu lebih besar dan mutakhir yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara antaranya; jenayah pembuangan bayi, rogol, rasuah dan jenayah sosial lain.

“Jenayah-jenayah inilah yang sebenarnya menghina kesucian agama Islam dan umatnya.

“Umat Islam diajar bersyukur kepada Allah di atas limpah kurnia-Nya dan berterima kasih kepada kebaikan manusia.

“Tindakan menyerang Teo yang menyerahkan sumbangan untuk membaiki pagar surau begitu begitu terpesong dari ajaran Islam dan memalukan umat Islam,” katanya.

Faekah berkata, beliau khuatir jika tindakan ini tidak dikawal ia akan melebarkan jarak pemahaman antara kaum dan agama yang sememangnya gagal ditangani secara bijak oleh pemerintah BN.

“Kerajaan Selangor memandang serius perkara ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang sengaja mewujudkan ketegangan dalam hal-hal agama mahupun kaum.

“Kerajaan Selangor pada masa yang sama, mengamalkan politik matang dengan meletakkan kepentingan rakyat teramai mengatasi ideologi politik itu sendiri,” katanya.

Kata beliau, kerajaan negeri sentiasa merai dan mengalu-alukan mana-mana pihak untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan aktiviti keagamaan dan kebajikan.

“Berpaksikan prinsip inilah, kerajaan Selangor dengan hati terbuka membenarkan pemimpin dari kerajaan pusat dan menganjurkan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di masjid dan serta surau di negeri ini bagi mengimarahkan rumah Allah sepanjang bulan Ramadan penuh berkat ini.

“Kerajaan Selangor mengambil pendirian bahawa sumbangan kepada golongan miskin dan memerlukan bantuan ketika ekonomi kian mencengkam ini adalah lebih penting dan melangkaui fahaman politik kepartian,” katanya.

Faekah juga menggesa semua pihak berhenti dari membuat telahan dan tohmahan jahat kepada mana-mana pihak yang akhirnya akan memberi kesan negatif kepada kefahaman agama Islam itu sendiri.

“Jangan sampai kesucian Islam dicemari semata-mata kerana sikap prejudis yang mengatasi akal dan budi.”

Tiada ulasan: