HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Ogos 2010

Polis diminta siasat Namewee

MALAYSIA TODAY

PEKAN - Datuk Seri Najib Razak mengarahkan pihak berkuasa menyiasat seorang pemuda dari Muar Johor, Wee Meng Cheng atau lebih dikenali 'Namewee' yang mengulangi perbuatan biadapnya dengan menerbitkan klip video yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Tegas Perdana Menteri, siasatan menyeluruh perlu dilakukan dan jika mempunyai bukti kukuh, kes tersebut akan diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan hukuman yang sewajarnya.

''Kita tengok dulu, jika ada bukti cukup, boleh dakwa dan serahkan kepada mahkamah untuk jatuhkan hukuman," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB), Tanam Semula Komersial (TSK) dan zakat Risda di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Namewee sebelum ini yang pernah mencetuskan kemarahan rakyat dengan klip videonya berjudul Negarakuku.

Namewee dikatakan mengulangi perbuatan itu dengan menerbitkan klip video terbaru berunsur perkauman yang berjudul Namewee F*** Racism Malaysia Nah!!!

Perdana Menteri memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum.

Ditanya kecenderungan Namewee yang seolah-olah tidak gentar dengan kerajaan apabila mengulangi perbuatan sedemikian, Najib berkata: ''Jangan kata kita (kerajaan) tidak ambil tindakan. Amaran kita bukan kosong tetapi benar-benar ambil tindakan.

''Jika kita ambil tindakan kita mesti ada bukti yang konkrit sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman yang sewajarnya.''

Menjawab soalan lain, Najib mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Jenayah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan wujudnya segelintir pegawai dan anggota penguat kuasa jabatan serta agensi kerajaan yang terlibat dengan aktiviti rasuah di pintu masuk sempadan.

''Kalau ada macam itu, kita mesti serahkan kepada SPRM menyiasat dan mengambil tindakan kalau sekiranya terbukti ada penerimaan wang sogokan," katanya.

Siasatan itu tegas Perdana Menteri, perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak tertumpu di satu-satu pintu sempadan sahaja.

''Biar SPRM siasat semua pintu masuk dan ambil tindakan sewajarnya," katanya. UTUSAN

Tiada ulasan: