SHAH ALAM - Kerajaan Umno-Barisan Nasional didesak supaya segera menyemak semula perjanjian konsesi yang ditandatangani dengan syarikat konsesi lebuh raya yang dilihat mengaut keuntungan secara berlebihan ke atas rakyat walaupun pemilik konsesi sudah lama mendapat kembali modal yang dikeluarkan termasuk keuntungan yang berlipat ganda.
Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berpendapat kebanyakan perjanjian konsesi lebuh raya yang sudah ditandatangani sekian lama kini dianggap sudah tidak lagi berlaku adil kepada pengguna malah ia menjadi opresif.
"Perjanjian konsesi ini seharusnya disemak semula terutamanya dalam kes di mana sasaran kewangan yang diunjur sudahpun dicapai. Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan syarikat-syarikat ini mengaut keuntungan berkali ganda ke atas rakyat.
"Saya berpandangan kerajaan pusat yang memainkan peranan dalam mendraf perjanjian ini kini mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengkaji semula kontrak dan bertindak segera," kata Gobind dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian sebagai ulasan kepada laporan media semalam berhubung kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor yang mengumumkan empat syarikat konsesi lebuh raya negara bersetuju memberi diskaun 20 peratus manakala sebuah lagi syarikat konsesi iaitu Lingkaran Transkota Sdn Bhd (LITRAK), memberi laluan tol percuma kepada pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) sempena ulang tahun ke-53 kemerdekaan negara.
Shaziman Abu Mansor juga berkata tol percuma untuk pengguna LDP akan bermula dari jam 12.01 pagi 31 Ogos sehingga tengah malam hari kemerdekaan.
Gobind berkata pengumuman tersebut mengesahkan kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa pengguna perlu dibebaskan daripada bebanan membayar tol terutamanya di kawasan parlimen beliau di mana bayaran tol yang dikenakan adalah sebanyak RM1.60 untuk satu hala.
Jelas beliau, bagi sebuah keluarga yang mempunyai dua kereta dan terpaksa melalui tol LDP Puchong sebanyak dua kali sehari dua hala, ini bermakna pengguna terpaksa membelanjakan RM12.80 sehari dengan purata RM384 sebulan.
Kebanyakan pengguna terpaksa melalui tol tersebut sekurangnya 10 kali dalam sehari kata Gobind lagi.
Menurut Gobind, laporan media juga menyatakan purata jumlah kenderaan yang melalui tol LDP adalah 450,000. Ini bermakna jumlah pungutan tol adalah RM720,000 sehari, RM22.32 juta sebulan atau RM276.84 juta setahun.
"Jumlah ini hanya anggaran kasar kutipan tol dalam setahun. Jumlah ini akan meningkat secara mendadak dalam tempoh beberapa bulan dan tahun kerana Puchong sedang pesat membangun dan sudah tentunya aliran trafik juga akan meningkat.
"Jumlah ini juga tidak termasuk hakikat bahawa kadar tol akan dinaikkan setiap tahun. Mengikut perjanjian konsesi tol akan dinaikkan daripada RM2.10 kepada RM3.20 dimasa akan datang," jelas Gobind.
Beliau menarik perhatian kepada perjanjian konsesi yang telah didraf bertahun dahulu dan samada perjanjian tersebut merangkumi unjuran peningkatan aliran trafik dan kenaikan kadar tol secara tepat.
"Tidakkah ada tempoh masa dalam perjanjian untuk pengambilan keuntungan dan kemudian konsesi tersebut dikembalikan semula kepada kerajaan dan rakyat?
"Adakah rakyat hilang daya dan tiada tempat mengadu hanya kerana perjanjian tersebut telah ditandatangani dan berkuatkuasa seperti yang selalu dijelaskan oleh kerajaan di Parlimen?
"Kita rakyat, bukan kita yang menandatangani perjanjina ini. Kenapa pula kita perlu tanggung semua implikasinya?" soal Gobind.
Ujar beliau, keadaan lalulintas di lebuh raya LDP Puchong amat sesak terutamanya ketika masa puncak.
Beliau mempertikaikan mengapa perlu pengguna membayar tol bila mana perjalanan mereka terhalang disebabkan kesesakan.
"Tanya sahaja sesiapa di Puchong dan kita akan dapati isu tol dan kesesakan trafik menjadi isu paling utama dalam senarai aduan orang awam. Jadi mengapa kita harus menunggu bertahun-tahun lamanya dan menderita secara senyap bila sejumlah wang yang besar dikutip daripada penduduk Puchong?
"Sebagai Ahli Parlimen Puchong, saya ingin bertanya kepada kerajaan pusat samada keuntungan yang dijangka diraih daripada lebuh raya ini dalam lingkungan RM13.8 bilion antara tahun 2016 hingga 2029. Berapakah jumlah keuntungan yang sudah dikutip setakat ini dan berapakah pula yang akan dikaut dari sekarang hingga tahun 2016 berdasarkan unjuran aliran trafik dan kadar tol?," soal Gobind lagi.
Gobind meminta Shaziman menyatakan pendirian kerajaan samada opsyen untuk membeli semula konsesi lebuh raya adalah lebih wajar dari segi menjimatkan wang rakyat.
"Ada sesuatu yang tidak kena.Peningkatan aliran trafik sepatutnya menyebabkan kadar tol menurun dan seterusnya meringankan beban rakyat, bukan sebaliknya.
"Tidakkah perjanjian tersebut membuat peruntukan sedemikian dan tidakkah ia juga menyebut mengenai mekanisme harga untuk opsyen tersebut?" tanya beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan