Aqil Fithri |
Memang, kerumitan mampu mengugat kestabilan. Hal seperti ini sering berlaku tatkala wujudnya konflik kepentingan antara kelompok (Gemeinschaft) dalam sesebuah negara (sistem politik bersama). Dan, usah malu-malu untuk kita menginsafi bahawa Malaysia kini tengah bergelut dengan perkembangan tersebut.
Tetapi, apakah ada jalan-keluar untuk kemelut ini, atau apakah kita dapat melakukan sebuah tindakan kesedaran bagi merungkaikannya? Barangkali, kita boleh berkilas balik pada sejarah negara, lalu mengamati arus masyarakat dewasa ini di tanahair, serta cuba menawarkan alternatifnya.
Dalam sejarah modennya, Malaysia konon bermula dari gagasan Melayu-Islam. Sebetulnya, ini sebuah idea intelektual yang kental digagaskan dari Syed Muhammad Naquib al-Attas, sebelum di tangan Umno diangkat sebagai sebuah gagasan politik negara. Lalu, nyawa Malaysia yang terbentuk sering saja disandarkan pada Melayu-Islam, sembari disaluti dengan omongan, "turut menghargai kaum-kaum lain."
Bagaimanapun, sejarah dan omongan tak menghasilkan apa-apa. Shahdan, kita perlu menyedari bahawa ada sesuatu yang bergerak dengan denyut-zaman, iaitu, masyarakat. Sama seperti budaya, selama-lamanya masyarakat tak pernah kaku pada satu bentuk, bahkan menuju kerumitan demi kerumitan.
Demikian juga, berpaut-erat pada nostalgia sejarah tak lagi merupakan mantik sistem politik yang sesuai dengan rakaman baru, meski diakui antara detik-detik sejarah itu sentiasa bergulir, serta punya berkesinambungannya.
Lantaran itu, dewasa ini negara kita sedang berdepan dengan ragam konflik kepentingan, yang amat menuntut bikinan sejarah baru; sebuah sistem-politik dengan konsep negara yang munasabah. Jadi, konsep Melayu-Islam sudah sangat sulit untuk bertahan bila berdepan sebuah sistem politik negara moden yang makin rasional.
Negara kita harus dirawat
Jadi, negara kita harus dirawat. Malaysia harus dirawat, sekiranya pun enggan membina semula. Kita masih mampu merawatnya dengan meletakkan keabsahan sistem politik kepada inti konsep negara itu sendiri, iaitu, dari rakyatmya, atau dari masyarakatnya. Bukan lagi pada Melayu-Islam secara sepihak.
Namun, bagaimana tatacara (procedure) untuk merealisasikannya?
Jürgen Habermas filsuf teori sosial dari Jerman boleh membantu kita, menerusi dualisme sistem-politik dan Lebenswelt-nya. Dalam kata yang dipinjamnya dari fenomenologi Husserl, Lebenswelt itu merujuk kepada dunia-kehidupan, di mana setiap kelompok memiliki kesedaran tentang pandangan-hidup yang dihayatinya. Misalnya, Melayu ada pandangan hidupnya. Cina juga begitu, dan India pun, serta kaum-kaum yang lain-lain.
Lebenswelt ini tentu boleh berkait dengan agama, atau dengan faham-faham lain, seperti yang akhirnya juga telah melahirkan lekatan antara Melayu-Islam. Mudahnya, setiap kaum berhak memiliki pandangan hidupnya, serta berhak memperjuangkan pandangan-hidup mereka ini ke arah membangun sebuah sistem politik negara. Hak ini harus terus dibenarkan, dan dipertahankan.
Memang penting untuk dipertahan dan dibenarkan, kerana kita tak mahu setiap kelompok memendam dendam yang hujungnya membibit konservatisme dan fundamentalisme. Sehubungan itu, setiap hal mestilah dibenarkan untuk diwacanakan dalam ruang awam. Dan, tiada lagi label, "isu sensitif," "mengugat keselamatan negara," "ketuanan Melayu" dan "bangsa pendatang".
Tentu, dari keterbukaan ini kelak akan bangkit persoalan: Bagaimana untuk mengawal ketegangan yang muncul dari perbezaan-perbezaan dalam masyarakat ini? Untuk itu, sistem negara-hukum juga perlu dibangunkan berasaskan pada hukum yang terhasil dari wacana antara kelompok (kaum dan agama) tersebut. Ini bermakna, sistem-hukum bukan lagi digubal multak secara elit yang eksklusif (legislative).
Sebetulnya, apa kesan dari tatacara ini? Kesannya ialah masyarakat pada akhirnya dapat membangun sistem hukumnya sendiri. Lalu, ini akan menerbitkan "rasa keterlibatan" dan menambah "tingkat kepatuhan" terhadap hukum tersebut. Sebab, masyarakat merasakan ini adalah hukumnya, dan untuknya. Walhasil, dari Lebenswelt yang beragam, terbinalah sistem-politik yang tunggal.
Satu Individu wakili hasrat rakyat
Namun, malangnya, setelah separuh abad kita merdeka, kita tak begitu merasa memiliki negara ini. Kita tak pernah merasakan lantaran kita (rakyat) tak diajak untuk berdeliberasi dalam membangunkan sistem-hukum dalam negara ini. Yang kerap berlaku adalah: satu individu tertinggi (perdana menteri) mewakili seluruh fikiran dan hasrat rakyat. Yang muncul, fasisme.
Inilah lambang dari sebuah pemiskinan demokrasi, atau juga, sebuah manipulasi demokrasi.
Akibat ketempangan inilah juga, terdapat satu kelompok (misalnya Melayu-Islam) yang ingin menguasai kelompok-kelompok lain menerusi jalan pintas kuasa politik. Mereka - dengan malas - ingin membolot sistem politik negara ini. Sikap seperti ini sangat berbahaya, serta mendorong sifat tidak rasional dalam sistem-politik kita.
Malah, kesendengan ini diperkukuhkan lagi dengan sistem hukum-negara yang tak digubal seara benar. Hukum yang digubal tak melewati proses wacana rakyat, dan kita pun tanpa sikap kritis terus-menerus mempertahankan kesendengan ini. Bukannya membuka lahan wahana setara buat semua kelompok.
Justeru, melihat sistem-politik yang tempang sebegini terus bernafas, maka amat mustahillah konflik di Malaysia akan reda dengan tindakan sepihak. Konflik seperti ini pasti akan terus berlanjut, sampailah negara-hukum diabsahkan, dan sampailah jiwa masyarakat merasakan mereka memiliki negara ini.
Negara kita, jujur saja, tak pernah merdeka dari dalam dirinya sendiri. Hatta, takkan pernah, hinggalah kita dapat merawat sistem politik negara kita yang rawan ini. Sebaliknya, kemerdekaan yang hakiki itu pula, hanyalah lahir menerusi sebuah "tindakan keabsahan dari jiwa warganegara-nya." Dan ternyata, itu belum pun terlaksana.
Hari ini kebetulan hari kemerdekaan. Maka selamat merawat negara!
Aqil Fithri adalah zamil Cendikiawan Awam Asia 2009/2010, tajaan Nippon Foundation, Jepun. Beliau dapat dihubungi menerusi aqilfithri@gmail.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan