HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Ogos 2010

Bendera M'sia Dibakar, Diludah Dalam Demo Di Jakarta

BERNAMA

Penunjuk perasaan di hadapan kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di situ hari ini.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua- dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau 13 Ogos lepas.

Ketika emosi memuncak, penunjuk perasaan bergaduh dengan pasukan Polis Indonesia yang menghalang mereka daripada menghampiri pintu pagar untuk masuk ke dalam kawasan kedutaan.

Mereka membaling batu dan selipar ke arah polis. Seorang daripada mereka ditahan polis kerana membaling sebatang buluh, yang sebelum itu digunakan untuk mengibarkan bendera Indonesia, ke arah pasukan keselamatan.

Insiden pada 13 Ogos itu membabitkan penahanan tiga pegawai penguatkuasa laut Indonesia oleh Polis Marin Malaysia ekoran penahanan tujuh nelayan Malaysia oleh bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia kerana didakwa meneroboh.

Malaysia mempertahankan bahawa nelayan tersebut berada di perairan sendiri apabila ditahan oleh pihak penguatkuasa Indonesia itu. Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pada 17 Ogos.

Kumpulan penunjuk perasaan hari ini menuntut Malaysia memohon maaf serta meminta kerajaan Indonesia memanggil balik Duta Besar Indonesia di Malaysia.

Keadaan reda apabila anggota kumpulan yang beremosi dapat ditenangkan oleh beberapa orang pemimpin kumpulan tersebut.

Sejak insiden 13 Ogos itu, beberapa demonstrasi dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil antara 20 dan 40 orang sahaja namun ia tetap ganas sehingga ada yang bertindak merosakkan plak nama Kedutaan Besar itu, memanjat pintu pagar dan tembok pintu pagar dan berdiri di atasnya.

Kerosakan pada harta benda kedutaan besar itu telah dilakukan oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih.

Penghinaan paling buruk dilakukan terhadap Malaysia ialah perbuatan melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) pada Isnin lepas.

Sementara itu, untuk hari kedua berturut-turut, kediaman Duta Besar Malaysia di Patra Kuningan, Jakarta Selatan, terpaksa dikawal ketat oleh Polis Indonesia berikutan satu lagi ancaman demonstrasi dan melempar najis.

Semalam, kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) serta kumpulan gabungannya yang menamakan diri Pemuda Pemudi Anti Malaysia dilaporkan merancang melakukan perbuatan itu pada jam 10 pagi ini tetapi membatalkan niat itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Kumpulan sama bercadang meneruskan rancangan mereka namun sehingga petang ini, mereka belum muncul.

Seperti semalam, bahagian jalan di hadapan rumah Duta Besar Malaysia telah ditutup kepada lalulintas sejak pagi ini dan polis telah menempatkan para anggotanya di sekitar kawasan itu.

Aksi demonstrasi ini dilakukan bagi membantah insiden penahanan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia oleh Polis Marin Malaysia pada 13 Ogos.

Dalam insiden itu bahagian penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu turut menahan tujuh nelayan Malaysia. Kedua-dua pihak mempertahankan bahawa penahanan itu adalah bagi kesalahan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing.

Kesemua tahanan itu telah dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua belah pihak pada 17 Ogos.

Tiada ulasan: