HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Ogos 2010

Sime Darby: Saiz Bukan Lambang Kekuatan


bakun2 Oleh Zainal Abidin Nor

Saiz yang besar tidak semestinya melambangkan kekuatan dan penggabungan di antara syarikat-syarikat dalam bidang yang sama tidak semestinya membawa keuntungan.

Lihat sahaja apa yang telah terjadi kepada Kumpulan Sime Darby Bhd. Syarikat konglomerat ini baru tiga tahun menjalani proses penggabungan dengan Golden Hope Plantation Bhd dan Guthrie Berhad untuk muncul sebagai sebuah syarikat perladangan terbesar di dunia. Oleh saiznya yang besar, Sime Darby juga muncul sebagai salah sebuah syarikat yang terbesar dari segi nilai dan keaktifan pasaran (market capitalisation) di Bursa Malaysia.

Hari Khamis lalu, Sime Darby mengumumkan kerugian sebanyak RM77.4 juta untuk tiga bulan berakhir 30 Jun 2010. Ini merupakan kerugian suku tahun kedua berturut-turut selepas ia memperuntukan RM777.3 juta untuk potensi kerugian ke atas projek-projek di bawah bahagian tenaga dan utilitinya. Apabila dicampur dengan peruntukan RM1.3 bilion dalam suku ketiga, jumlah peruntukan yang dibuat oleh kumpulan itu untuk tahun kewangan berakhir 2010 melambung kepada RM2.08 bilion.

Bagaimanapun dari segi kumpulan, Sime Darby masih mencatat keuntungan sebanyak RM726.8 juta berdasarkan untung operasi RM2.1 bilion yang dicatatkan oleh aktiviti teras perladangan dan sektor-sektor lain dalam kumpulan itu.

Penyusunan semula organisasi

Langkah pemangku presiden dan ketua eksekutif kumpulan Datuk Mohd Bakke Salleh menyusun semula struktur organisasi Sime Darby dengan memecahkan enam aktiviti teras perniagaannya kepada enam buah anak syarikat adalah dialu-alukan bagi menyelamat dan memulihkan kedudukan kewangan konglomerat itu.

Ketika menyampaikan taklimat kepada media Khamis lalu, Mohd Bakke berkata, enam teras perniagaan Sime Darby – perladangan, hartanah, kenderaan bermotor, peralatan/logi industri, tenaga dan utiliti dan penjagaan kesihatan – akan beroperasi dalam enam buah syarikat yang berasingan dan masing-masing mempunyai pasukan pengurusan dan lembaga pengarah tersendiri, berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Perancangan ini dibuat agar tiap-tiap anak syarikat mempunyai akaun untung ruginya yang tersendiri. Jika ada mana-mana anak syarikat yang mencatat kerugian, kesannya tidak tempias kepada kedudukan untung rugi syarikat induk. Langkah ini dilakukan supaya kerugian yang dialami oleh bahagian tenaga dan utiliti tidak memberi kesan buruk kepada penyata untung rugi Sime Darby sebagai sebuah entiti kumpulan.

Walaupun pada peringkat awal, langkah ini akan menelan perbelanjaan yang lebih, ekoran bayaran gaji kepada pasukan pengurusan dan elaun serta emolumen kepada ahli-ahli lembaga pengarah yang semakin besar saiznya tetapi langkah ini adalah menjimatkan pada jangka panjang dan lebih berdaya maju.

Pasukan pengurusan dan ahli-ahli lembaga pengarah akan dipilih dari golongan profesional dan mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing. Inilah yang dilakukan oleh Mohd Bakke ketika menerajui Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda). Dalam kes Felda, aktiviti perniagaannya dipecahkan kepada dua entiti besar iaitu Felda Holdings Bhd dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd.

Sebenarnya, penyusunan semula yang akan dilaksanakan oleh Sime Darby nanti, bukanlah perkara baru. Malahan konglomerat itu kembali kepada struktur asal pada peringkat awal penubuhannya. Setiap aktiviti ekonomi dikendalikan oleh anak syarikat yang berlainan.

Tidak membebankan syarikat induk

Strategi inilah juga yang digunakan oleh syarikat-syarikat pemaju perumahan. Apabila melancarkan sesuatu projek pembangunan bercampur dan perumahan, mereka akan menubuhkan anak syarikat yang berasingan. Tujuannya supaya jika sekiranya projek itu gagal, ia tidak akan membebankan syarikat induk, terutama dari segi kewangan.

Menurut kajian, saiz tidak semestinya melambangkan kekukuhan dan kekuatan sesebuah syarikat. Penggabungan syarikat juga tidak semestinya membawa kelebihan dan menambah nilai syarikat. Tiga dari setiap empat buah syarikat yang bergabung dengan syarikat lain mengalami penurunan nilai.

Objektif utama saiz yang besar melalui penggabungan dan pengambilalihan syarikat (merger & acquisition) dilakukan ialah untuk menaikkan keupayaan syarikat untuk bersaing dalam perniagaan, terutama di persada antarabangsa. Lagi pun saiz yang besar lebih mudah untuk mendapatkan pinjaman dan instrumen pinjaman yang lain serta berada pada kedudukan yang lebih meyakinkan para pelabur tempatan dan luar negeri.

Tetapi kesan buruknya ialah apabila sesebuah unit atau bahagian daripadanya mengalami kerugian maka syarikat induk yang akan menerima padahnya. Dalam kes Sime Darby, berkemungkinan ia tidak dapat melabur dalam aktiviti petroleum dan gas di Qatar jika bahagian tenaga dan utiliti berasingan dari kumpulan.

Kos lebihan Bakun RM855 juta?

Begitu juga dengan projek empangan hidro elektrik Bakun bernilai RM7.3 bilion, yang suatu masa dahulu tergendala ketika Ting Pek Khing menerajui Ekran Bhd, diberi kepada Sime Darby dan kini mengalami kos lebihan (cost overrun) adalah berdasarkan saiz konglomerat itu dan bukan berdasarkan kemampuan dan kemahiran yang ia miliki. Kos lebihan Bakun dijangka meningkat kepada lebih RM855 juta (RM365 juta telah diperuntukan dan berkemungkinan sebanyak RM490 juta lagi akan diperuntukan).

Mungkin Sime Darby sudah belajar dari episod yang menyedihkan ini. Peruntukan RM2.08 bilion ini telah melenyapkan faedah sinergi bernilai RM260 juta hasil dari penggabungan dengan Golden Hope dan Guthrie sejak 2007. Maka langkah penggabungan ini nampaknya tidak berhasil dan merupakan satu usaha yang sia-sia.

Golden Hope dan Guthrie, kedua-duanya juga merupakan syarikat gergasi perladangan mungkin tidak nampak pada suatu hari nanti bahawa aktiviti bukan teras Sime Darby, tenaga dan utiliti, akan membawa bencana setelah penggabungan.

Usaha Sime Darby melantik Bakke untuk menyelamatkan Sime Darby kelihatan telah berjaya menanam bibit-bibit keyakinan di kalangan para pelabur sepertimana harga sahamnya telah melonjak sedikit di Bursa Malaysia hari Jumaat lalu. Pada sidang media pertamanya, beliau juga mengumumkan langkah-langkah baru untuk memperbaiki tadbir urus korporat dan pengawasan dalaman yang lebih ketat.

Episod yang menimpa Sime Darby ini mengajar kita tentang betapa pentingnya tadbir urus korporat yang baik, pengawasan dan pengauditan yang teliti oleh lembaga pengarah dan pengurusan, tidak terjun dalam bidang yang tidak mempunyai kemahiran dan bebas dari tekanan pihak luar.

Tiada ulasan: