HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 Disember 2010

Mahasiswa pilih kerajaan adil, amanah

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Mahasiswa hanya memilih kerajaan yang adil dan amanah dalam pemerintahan serta tidak mengamalkan politik sempit dan bersifat perkauman, tegas Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Setiausahanya, Mohd Ridzuan Othman berkata, mahasiswa sememangnya bersikap bebas dan sentiasa menilai kerajaan BN atau Pakatan Rakyat serta menjadi 'check and balance' kepada kedua-dua pihak.

"Tidak ada pertikaian jika seseorang mahasiswa itu menyokong kerajaan ataupun pembangkang kerana bukan agenda politik yang kita lihat tetapi kita menilai sejauh mana ketelusan, keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas nasihat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir agar penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) membuat perbandingan di antara kerajaan BN dan Pakatan rakyat serta tidak terpedaya dengan janji-janji Pakatan Rakyat kerana didakwa akan merugikan mereka.

SMM, katanya menganggap pandangan Muhkriz bahawa mahasiswa lebih cenderung menyokong pembangkang sebagai pendangan peribadi sebaliknya beliau berkata, mahasiswa merupakan '3 force' yang boleh menghukum mana-mana kerajaan yang gagal memerintah dengan baik melalui pilihan raya.

"Kenyataan Datuk Mukhriz memperlihatkan bahawa seluruh mahasiswa pro kepada pembangkang. Saya kira itu pandangan beliau sebagai seorang Menteri. Kita tidak mahu campur tangan terhadap kenyataan itu.

"Saya yakin dan percaya, ‘ketakutan’ yang dirasai oleh sesetengah pihak terhadap mahasiswa adalah pandangan sisi yang perlu dinilai sebaik mungkin.

"Mana-mana parti pun yang memerintah, tanggungjawab sebagai kerajaan adalah membantu rakyatnya. Jika parti itu tidak mampu menunaikan tanggungjawab, maka mahasiswa akan menghukum di dalam pilihanraya, berteraskan konsep Demokrasi Berparlimen," katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan seharusnya memastikan kebajikan mahasiswa terjamin sebelum melabelkan mereka sebagai penyokong mana-mana parti.

"Tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang. Yang penting jika hak mahasiswa dijamin, jika mahasiswa diberikan ruang bebas berbicara dan melontarkan pendapat, jika AUKU tidak mengekang hidup mahasiswa, jika PTPTN tidak menyusahkan hidup mahasiswa dengan kadar faedah yang tinggi, saya yakin dan percaya mahasiswa sudah celik dan mampu berfikir siapa yang mereka perlu pilih untuk perjuangkan hak-hak mahasiswa ini," katanya.

Tiada ulasan: