Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Md Asri Amir menunjukkan peta kawasan DUN Tenang selepas mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi itu di Putrajaya hari ini. – Bernama
Pilihan raya umum ke-13 disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan meskipun mandat semasa hanya akan berakhir pada suku kedua 2013.
Bagaiamanpun suruhanjaya itu mengakui pihaknya tidak dapat mengelak jika keadaan memerlukan pilihan raya kecil diadakan dengan tempoh untuk berbuat akan berakhir antara April-Mei depan.
“Ya, kita berharap begitu, ada lagi empat lima bulan,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Bagaimanapun kita tidak boleh pastikan (yang ini terakhir) sebab mungkin ada mereka yang sakit dan meninggal dunia, mungkin kerana kemalangan... tetapi kita berharap begitu (ini pilihan raya kecil yang terakhir),” katanya lagi.
Kini ada dua bahagian pilihan raya masing-masing DUN Kota Siputeh dan Parlimen Batu menunggu keputusan mahkamah untuk menentukan statusnya.
Daripada 14 pilihan raya kecil, 11 kekosongan adalah disebabkan kematian iaitu Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Batang Ai, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Hulu Selangor, Sibu, Galas dan Batu Sapi serta Tenang.
Permatang Pauh, Bukit Selambau dan Penanti menyaksikan pilihan raya kecil disebabkan wakil rakyatnya, dari PKR, meletakkan jawatan.
Bagaimanapun pilihan raya kecil sepanjang tempoh selepas Mac 2008 hingga sekarang bukan kali pertama negara menyaksikan pilihan raya kecil yang banyak jumlahnya.
Sebanyak 16 pilihan raya kecil telah diadakan sepanjang tempoh antara 1995 dan 1998 iaitu sebelum pilihan raya umum 1999.
Mengikut undang-undang pilihan raya negara, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan ketika mandat semasa hanya tinggal dua tahun dari tarikh persidangan pertama Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, kata Abdul Aziz.
“Di peringkat Parlimen, sidang pertama Dewan Rakyat adalah 21 April 2008, jadi kita ada masa untuk mengadakan pilihan raya kecil sehingga 20 April, jika berlaku kekosongan pada atau sebelum 20 April, kita perlu adakan pilihan raya kecil.
“Dan, di peringkat negeri, ia bergantung pada tarikh pertama sidang Dewan Undangan Negeri, tetapi saya tidak pasti tarikh yang tepat, tetapi saya rasa dalam lingkungan April dan Mei,” kata beliau.
Setakat ini SPR telah mengendalikan 13 pilihan raya kecil dengan yang pertama pada Ogos 2008 membabitkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan yang terakhir kerusi DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi awal bulan lalu.
Pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi diadakan serentak bulan lalu.
“Kami sudah cukup latihan dengan pilihan-pilihan raya kecil setakat ini,” kata beliau secara berseloroh dan menambah, “ada yang mengatakan angka 15 adalah angka yang baik.”
Bagaimanapun beliau menafikan andaian bahawa pihaknya sudah “penat” dengan 13 pilihan raya kecil setakat ini.
Abdul Aziz berkata, kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14.
Mengenai kempen ketika pilihan raya kecil DUN Tenang, Abdul Aziz berkata beliau berharap nama “Tenang” itu sendiri akan diterjemahkan sepanjang tempoh berkempen.
“Namanya pun Tenang, dan kami berharap ketenangan akan wujud semasa berkempen,” kata beliau ketika ditanya sama ada dapat mengelakkan suasana tegang yang disaksikan ketika hari pengundian pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu.
“Bagi memastikan proses pelaksanaan pilihan raya kecil ini berjalan lancar, semua pihak diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertanggungjawab dalam menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya.
“Parti-parti politik, calon-calon, petugas-petugas dan para penyokong parti serta mana-mana individu lain yang akan terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya serta tatasusila berkempen yang ditetapkan,” kata Abdul Aziz.
Katanya, SPR ingin menarik perhatian bahawa hari mengundi tiap-tiap majikan dikehendaki memberi tempoh yang munasabah kepada pengundi-pengundi yang bekerja dengannya untuk keluar mengundi.
Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan akhir bulan depan dengan hari penamaan calon 22 Januari dan jika ada pertandingan pengundian dijadualkan 30 Januari iaitu hari Ahad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan