Harakahdaily |
SHAH ALAM: Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 yang diadakan Hotel Grand Bluewave, di sini bermula malam ini dan esok antaranya akan membincangkan isu yang membabitkan perkembangan akhlak pelajar yang semakin kritikal. Ianya meliputi masalah gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, IPTA dan IPTS seperti isu pergaduhan, penyalahgunaan dadah, arak, samun, seks bebas, membuli, mengandung tanpa nikah dan membuang bayi, merempit, merokok, pembunuhan dan lain-lain lagi memperlihatkan bahawa sistem pendidikan negara gagal dalam mendidik dan membangun para pelajar. Turut dibincangkan ialah isu pembiayaan pendidikanjuga turut dipersoalkan apabila RMK-10 telah mengurangkan bajet untuk tujuan pendidikan, isu pembiayaan pelajar di IPTA yang masih tidak berkesudahan dan isu pinjaman PTPTN yang membebankan pelajar IPT. Soal lain ialah soal sistem pengukuran dan penilaian yangterpaksa dilalui oleh pelajar sekolah sehingga guru-guru, ibu bapa dan pelajar memberi tumpuan terhadap keperluan sistem tersebut yang kesannya lahirlah budaya ”exam-oriented” sehingga mengabaikan pembentukan akhlak pelajar kerana ibu bapa dan guru berbangga dengan pencapaian akademik sahaja tetapi bukan akhlak anak-anak. Isu transformasi pendidikan yang tidak diuruskan secara sistematik dan sengaja mengabaikan kepentingan bahasa Melayu dan Pendidikan Islam dalam kurikulum sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti kerana setiap perubahan yang dicapai tidak dibincangkan dengan lebih mendalam dengan pakar-pakar pendidikan sebelum dikuatkuasakan di samping isu kerajaan mengabaikan pendidikan Islam di sekolah Agama Rakyat dan kurikulum sekolah. Tujuan konvensyen itu ialah untuk memahami dan menguasai isu-isu pendidikan terkini berdasarkan penyelidikan dan fakta yang diyakini agar mampu melahirkan masyarakat yang peka terhadap keperluan sistem pendidikan yang mampu membentuk sahsiah para pelajar seterusnya mampu mengurangkan isu gejala sosial dalam kalangan remaja masa kini. Ia juga untuk mengenalpasti dan mendapatkan pandangan positif dan realistik daripada pakar dan masyarakat terhadap perjalanan dan kemajuan pendidikan negara masa kini ke arah pembentukan masyarakat yang sihat dan seimbang dari aspek jasmani, rohani dan intelek di samping mengumpul tenaga pakar, pemikir, penggerak dan pengamal pendidikan untuk merealisasikan sistem Pendidikan Islam sebagai alternatif utama menyelesaikan permasalahan masyarakat. Selain itu, konvensyen juga bertujuan untuk memastikan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak mengabaikan perkembangan pendidikan Islam terutama Sekolah Agama Rakyat dalam perancangan perkembangan pendidikan negara. Bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam ini diisi dengan wacana bertajuk “Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan” di mana ahli panel terdiri daripada Prof. Madya Haji Zainal Abidin Kidam, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Dr. Mohd Nor Manuty, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (SHURA). Pagi esok, majlis bermula pada jam 8.30 pagi dengan ucapan pengarah program, Azrin Ab Majid, diikuti ucaptama oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bertajuk “Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia” yang merupakan tema konvensyen. Seterusnya pembentangan kertas kerja 1 bertajuk “Falsafah dan Hala Tuju Pendidikan Malaysia: Satu Tinjauan dan Kesesuaian Terhadap Pendidikan Islam” oleh Dr. Noor Hisham Md. Nawi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah Universiti Malaysia Kelantan, “Pendidikan Islam: Tajdid Gerakan Islam” oleh Dr. Asiah Ali, Pengarah Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah (ILHAM). Ucapan Pleno 1 bertajuk “Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera” oleh Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains Dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, diikuti pembentangan kertas kerja 3 “Membangun Pendidikan Prasekolah di Malaysia: Pengalaman PASTI” oleh Azrin Ab Majid, Ketua Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia, “Sumbangan dan Peranan PAS dalam Bidang Pendidikan di Malaysia” oleh Ustaz Riduan Mohd Nor, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, “Bahasa dan Integrasi Kaum di Malaysia” oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan, UPSI. Pembentangan dan soal jawab kertas kerja 6 bertajuk “Di bawah Bayangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) : Undang-undang dan Mahasiswa” oleh Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar, Universiti Malaya, “Nilai dan Moral (Akhlak): Kepentingannya dalam Pendidikan” oleh Ustazah Wahibah Tahir, “Permasalahan Remaja di Malaysia Masa Kini: Pengabaian Terhadap Pendidikan Islam” oleh Dr. Che Noraini Hashim, “Membina Generasi Ulul Albab dalam Sistem Pendidikan di Malaysia : Konsep, Aplikasi, Cabaran dan Harapan” oleh Prof. Madya Dr. Ishak Sulaiman. Ucapan Pleno 2 bertajuk “Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera” oleh Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor dan pembentangan kertas kerja 10 “Sekolah Agama Rakyat dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan : Realiti, Cabaran dan Masa Depan” oleh Encik Azizi Umar. Pada jam 4.30 petang, Ustaz Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Pengerusi Majlis Permuafakatan Pendidikan PAS Kebangsaan (MPPK) akan menyampaikan ucapan penutup. |
HALAMAN SANTAI
Sabtu, 25 Disember 2010
Konvensyen Pendidikan Islam malam ini, esok
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan