SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dicabar supaya menerangkan kepada rakyat prosedur menghasilkan padi.
Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, Yaakob dinasihati supaya tidak cuba menjadi hero di mata rakyat tetapi pada masa sama cuba mengelirukan rakyat dengan fakta-fakta songsang.
Menurutnya, beliau mengalu-alukan kesediaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik itu untuk berdialog dengannya demi kepentingan petani.
“Saya akan menunggu jawapan beliau di mana tempat dan tarikh yang sesuai untuk perkara tersebut.
“Seperti yang saya nyatakan di dalam surat tersebut tarikh perlu dimaklumkan dua minggu awal untuk saya menyusun kembali jadual saya untuk hadir ke dialog itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, beliau dilahirkan dan dibesarkan dalam kawasan sawah padi malah berpengalaman dalam menanam, mengerat dan memukul padi.
“Saya melihat di depan mata bagaimana Kerajaan memajukan sawah padi daripada setahun sekali kepada dua kali tahun.
“Saya melihat cara penanaman padi secara berderau dimajukan menggunakan teknologi moden dan pemotongan padi guna ketam hingga guna mesin,” katanya.
Noh berkata, beliau pernah menyelam dalam parit ban untuk mengambil tanah selut untuk dibuat tapak semaian benih padi sehinggalah kerajaan BN menyediakan benih padi kepada pesawah.
Yaakob kelmarin menyatakan kesediaan untuk mengadakan mesyuarat bersama Noh dan pegawai- pegawai berkaitan untuk menyelesaikan isu benih serta baja padi.
Isu padi mula menjadi perdebatan antara dua pemimpin itu apabila Yaakob mempertikaikan kenyataan Noh dalam wawancara Sinar Harian.
Sementara itu, Yaakob meminta agar diberikan ruang untuk menerangkan secara terperinci mengenai Program Peningkatan Hasil Padi di Selangor di radio terlebih dahulu.
Katanya, walaupun sudah lebih setahun dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, beliau tidak pernah berpeluang berbuat demikian.
“Bagi saya ruang untuk jelaskan kepada petani terlebih dahulu dan selepas itu saya sedia untuk berdialog dengan beliau (Noh) secara ‘live’ dalam televisyen,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan