SELAYANG - Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Taman Templer, Mohamad Abd Rahman, mengambil inisiatif dengan memberi hebahan maklumat kepada guru besar, pengerusi sekolah rendah dan menengah sekitar Dun Taman Templer, mengenai prosedur memohon pendidikan bantuan kerajaan negeri Selangor.
Menurut beliau, arahan hebahan maklumat daripada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali ini, bertujuan supaya pusat khidmat masyarakat memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat kepada sekolah-sekolah yang terlibat.
“Sebelum ini penerangan serta taklimat telah diberikan, bagaimana untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan negeri Selangor,” kata Mohammad.
Beliau menambah, selepas melengkapkan borang tersebut, pihak terbabit hendaklah menghantar kepada pusat khidmat masyarakat bagi mendapatkan sokongan Adun atau penyelaras Dun.
“Diharap melalui hebahan ini, maklumat tentang mengisi borang permohonan yang telah disediakan dapat standardkan,” jelasnya.
Sebelum ini Kerajaan Pakatan Rakyat (Selangor) telah meluluskan sumbangan pendidikan sekolah-sekolah kerajaan negeri Selangor fasa pertama tahun 2011 sebanyak RM16 juta untuk Sekolah Agama Rakyat, SJK (C) dan SJK (T).
Untuk maklumat, borang permohonan boleh didapati di Portal Kerajaan Negeri Selangor, Pusat Khidmat Masyarakat (Pejabat Dun) kawasan masing-masing, Unit Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Tingkat 3, Bangunan SSAAS, SUK Selangor dan Pejabat Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Negeri Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan