MBPJ diminta tangguhkan pelaksanaan garis panduan baru.
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa menggesa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menangguhkan pelaksanaan “garis panduan baru” mengenai penyekat atau penghadang keselamatan di kawasan-kawasan perumahan berpagar.
“Saya difahamkan apa yang tidak dilaporkan oleh The Malay Mail bahawa pelaksanaan keputusan mengenai perkara itu tertakluk kepada maklum balas daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-Ahli Parlimen dan Persatuan-Persatuan Penduduk di sekitar kawasan Petaling Jaya,” katanya.
Beliau merujuk kepada laporan akhbar itu bertajuk: “Residen PJ diberi sehingga 31 Mac untuk roboh penghadang keselamatan” yang terbit pada 21 Januari 2011.
Laporan itu katanya, menyebut Jawatankuasa Trafik MBPJ mengumumkan tarikh tutup 31 Mac untuk pelaksanaan garis panduan baru berhubung penghadang keselamatan.
“Keputusan ini juga perlu diperakui oleh mesyuarat penuh Majlis MBPJ sebelum ianya dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, “saya menyeru supaya MBPJ menangguhkan pelaksanaan “Garis Panduan baru” ini dan mengekalkan ‘status quo’ buat masa ini.
“Tarikh akhir 31 Mac 2011 hendaklah ditarik balik dengan segera kerana ia menimbulkan kebimbangan para penduduk yang terlibat di sekitar Petaling Jaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan