HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2011

Peralat Pelajar Tahfiz Untuk Cari Dana

KELAB GREENBOC

Port Dickson – Setelah sekian lama bebas mengeksploitasi kanak-kanak dan remaja miskin serta yatim piatu seramai 83 orang supaya melakukan jualan amal hingga lewat malam setiap hari, sebuah pusat tahfiz di sini diserbu pihak berkuasa kelmarin.

Serbuan ke atas pusat yang terletak di Ambang Kota, Lukut itu dibuat selepas orang ramai mengadu tidak tahan lagi melihat pelajar terbabit dipaksa menjual peralatan ibadah, buku, minyak angin dan kismis tanpa sebarang upah.

Ketika pengusaha pusat tahfiz itu lena tidur, kanak-kanak terbabit terpaksa tidur beralaskan lantai simen setelah kepenatan ‘bekerja’ atas alasan ia adalah sebahagian kurikulum keusahawanan pusat tahfiz tersebut.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, siasatan mendapati kanak-kanak tersebut dibawa dengan kenderaan ke beberapa lokasi sekitar Port Dickson, Seremban, Nilai dan lain-lain tempat untuk menjual barangan tanpa sebarang upah.-kosmo
Kedai peralat pelajar tahfiz jual barang diserbu

PORT DICKSON: Sebuah premis perniagaan dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan di sekitar negeri ini dan Melaka diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan di Lukut, pagi semalam.

Ketika serbuan, terdapat kira-kira 80 kanak-kanak berusia antara 10 hingga 15 tahun berada di premis lot kedai yang turut menempatkan pejabat operasi perniagaan.

Harian Metro difahamkan, kanak-kanak berkenaan pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dan berada di situ untuk beberapa hari bagi menjalankan perniagaan.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kanak-kanak terbabit yang mengutip derma dan menjual barangan.

“Kanak-kanak terbabit mengutip derma dan menjual barangan sekitar bandar ini, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban dan Nilai di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).

“Berikutan itu, pihak kami memeriksa premis terbabit dan tiga kakitangan di situ ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Lukut untuk membantu siasatan,” katanya.

Katanya, serbuan itu turut disertai polis, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

MPPD dalam satu kenyataan menyatakan lima saman dikeluarkan terhadap pengurusan premis itu, iaitu kesalahan melakukan binaan tanpa kelulusan, berniaga tanpa lesen dan menggunakan premis perniagaan sebagai stor.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Pusat Rawatan Cinta Negeri Sembilan/Melaka, Badrin Mispami berkata, penjualan barangan oleh pelajar pusat tahfiz itu sebahagian daripada aktiviti kokurikulum bertujuan menjadikan mereka ahli perniagaan berjaya pada masa depan.

“Pusat itu hanya dijadikan transit apabila pelajar menjual barangan sekitar negeri ini antara dua hingga tiga hari,” katanya. -hm

Ulasan GB

Walau apa pun alasan, akaun pusat tahfiz berkenaan perlu disemak supaya diketahui kemana dan untuk apa dana itu dibelanjakan.

Kedua, adalah tidak wajar mana-mana pihak menggunakan alasan "aktiviti kokurikum" sebagai helah untuk mengutip keuntungan dengan memperalatkan anak yatim dan miskin berjaja di khalayak ramai apatah lagi hampir keseluruhannya adalah anak perempuan.

Ketiga, perkara paling gila yang dilakukan ialah memaksa pelajar-pelajar perempuan ini supaya melakukan jualan amal hingga lewat malam setiap hari.

8 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Harap perkara ini disiasat secara mendalam dan juga akaun Tahfiz ini disemak. Adalah tidak wajar kerana memperalat pelajar untuk tujuan yang tidak baik. Kalau mengutip derma secara sah pun tidak patut memaksa pelajar bekerja sampai lewat malam.

mandau berkata...

pusat tahfiz tersebut tak wajar menggunakan pelajar untuk pelajar untuk mencari wang. kebajikan pelajar perlu juga dijaga.

Gopuk berkata...

Wuhooo.... aktiviti ini bukan sahaja berlaku di satu tempat sahaja. Saya rasa di KK juga ada aktiviti sebegini. Mungkin jabatan agama di KK boleh melakukan peyiasatan berhubung dengan kes ini.

Gopuk berkata...

Kesian kepada pelajar2 terlibat. Jika diteliti, tidak sepatutnya pelajar itu dilayan sedemikian rupa. Tambahan pula mereka disuruh untuk menjual barangan keagamaan. Adalah tidak sesuai dan ini akan mencemarkan nama baik agama islam.

zam berkata...

jika benar pelajar-pelajar ini diperalat, pihak yang bersalah wajar dihukum.

Hamdan Hadillah berkata...

Perkara ini sudah melampau. Menjadikan pelajar untuk mencari dana. Sepatutnya mereka yang menguruskan mereka ini yang mencari dana dan bukannya pelajar.

Tanpa Nama berkata...

orang awam semakin peka dengan keadaan sekeliling mereka. tidak ada ruang untuk sebarang aktiviti2 haram beroperasi di negara ini. saya harap orang awam akan terus memainkan peranan bagi membantu pihak berkuasa menangani setiap jenayah atau aktiviti tidak sihat di negara ini... tahniah dan pastikan pesalah tidak terlepas dari tindakan undang2.

Mohd Ishak berkata...

Kecewa dan kesal kerana berlakunya perkara seperti ini. Mujur mereka dibongkar.