HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Januari 2011

Polis sedia hadapai kemungkinan PRU-13, Sarawak serentak

BERNAMA


KUCHING — Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada dalam siap siaga termasuk menghadapi kemungkinan pilihan raya umum ke-13 dan pilihan raya negeri Sarawak diadakan serentak, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Hussin Ismail hari ini.

Beliau berkata polis akan memastikan proses demokrasi berjalan dengan lancar dan pada masa yang sama menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sekiranya perkara seumpama itu berlaku.

Katanya polis Sarawak telah merangka perancangan rapi bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan proses pilihan raya negeri akan datang berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Polis membuat perancangan berdasarkan keperluan semasa seperti menambah keanggotaan, katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja beliau ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini.

Ini merupakan lawatan kerja pertama Hussin ke Sarawak setelah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara. Beliau pernah berkhidmat di Sarawak pada tahun 1994 hingga 1996.

“Kita akan menghadapi sesuatu keadaan berdasarkan keperluan,” katanya.

Penggal sekarang bagi para anggota Parlimen akan berakhir awal 2013 manakala pilihan raya negeri Sarawak perlu diadakan sebelum Julai 2011.

Sempena tahun baru, Hussin berkata PDRM akan mengemblengkan tenaga dan idea untuk menurunkan indeks jenayah di Sarawak dan pada masa yang sama meningkatkan keyakinan dan kepuasan masyarakat umum terhadap perkhidmatan pasukan polis.

Antara tumpuan yang akan diberikan di Sarawak pada tahun depan ialah pencegahan jenayah yang berkonsepkan kepolisan kemasyarakatan, katanya.

“Kita akan mengkaji semula dan berbincang dengan agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) untuk menambahbaik usaha mencegah jenayah pada tahun depan.

“Kami akan bekerja sebagai satu pasukan dan meneruskan perancangan, usaha dan strategi untuk mencapai matlamat iaitu menurunkan indeks jenayah dan meningkatkan keyakinan masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: