HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 Februari 2011

Ada Yang Tidak Kena Disebalik Keyakinan Tinggi BN Kedah, kata Mahfuz

TVS NEWS


SHAH ALAM : Keyakinan tinggi yang ditunjukkan Umno- Barisan Nasional(BN) Kedah untuk merampas semula Kedah yang diterajui PAS, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz dipetik berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata pihaknya yakin dapat menawan 31 kerusi DUN Kedah daripada 36 yang dipertandingkan.

Hujahnya sasaran itu tidak mustahil pada PRU ke-13 kali ini memandangkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya nampak bahawa keyakinan BN ini lebih kepada menunjukkan bahawa akan wujudnya satu pilihanraya yang tidak bersih akibat daripada konspirasi antara Umno-BN dengan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) dan pihak-pihak lain yang terbabit seperti Jabatan Pendaftaran Negara den sebagainya,"katanya.

Tambah beliau lagi, BN tidak wajar mengambil kesempatan dengan menggunakan kuasa yang ada bagi memanipulasi pihak-pihak tertentu dalam menjayakan misi mereka untuk menawan semula negeri Kedah.

"Jadi disini juga saya meragui apa yang akan berlaku di negeri Kedah kerana pada saya bahawa BN tak akan boleh menang kalau melalui proses biasa, maknanya BN tak boleh menang hanya mengharapkan kepada pengundi yang sedia ada di Kedah.

"Kerana pengundi-pengundi tersebut sudah dapat melihat perbezaan yang berlaku di dalam pemerintahan yang ada sekarang ini berbanding dengan kegagalan yang ditunjukkan oleh pemerintahan Umno-BN," jelasnya.

Mahfuz turut memberi cadangan supaya sebuah badan pemantau bebas dari luar negara di wujudkan dalam membuat pemantauan sebelum pilihanraya bermula, kerana dengan adanya badan seperti ini maka ia dilihat tidak akan memberi kepentingan atau menyebelahi mana-mana pihak.

Cadangan Mahfuz ini adalah berikutan SPR meragui badan pemantau yang sedia ada di negara ini yang dikatakan lebih berpihak kepada pihak pembangkang.

"SPR sendiri tak dapat menerima laporan pemantau pilihanraya yang ada, jadi kalau SPR tidak boleh mendengar segala kritikan dan teguran yang dibuat mereka ini, maknanya mereka boleh ambil pemantau daripada luar jika khuatir mereka berpihak kepada pembangkang," katanya.

Ketika ini, PAS menguasai 16 kerusi DUN Kedah diikuti, PKR 3 dan DAP (1) dan dua wakil rakyat Bebas, yang sebelum ini merupakan anggota DUN PKR. Manakala BN memiliki 14 kerusi.

Tiada ulasan: