KUALA LUMPUR — Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (PR) meneruskan bayaran insentif kepada umat Islam khususnya bagi guru Kafa dengan kali ini mereka dibayar RM100 sempena sambutan Maulidur Rasul.
Bayaran “one-off” itu menyusul bayaran kepada mereka ketika menyambut Awal Muharam akhir tahun lalu.
Malah, buat kali pertama tahun lalu, semua guru Kafa telah diberikan RM250 sebagai “duit raya” menyambut Aidilfitri.
Ketika mengumumkan perkara itu hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, bayaran RM100 ini akan menelan kos RM150,000 bagi kerajaan negeri.
“Dan, akan dicadangkan oleh saya pada mesyuarat Exco Khamis ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pulau Pinang mengadakan sambutan Maulidur Rasul di bawah tema “Wasatiyyah Tonggak Kecemerlangan Ummah”.
“Pembayaran ini dapat dibuat kerana kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah; urus tadbir CAT yang cekap, akauntabel dan telus serta kempimpinan integriti, bersih dan bersih daripada rasuah,” katanya lagi.
Dalam kenyataannya, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan berkata, kesederhanaan dalam Islam akan menolak dakwaan pemimpin BN tertentu bahawa Islam adalah ekstremis, mundur, miskin, tidak demoktratik dan korup.
“Kerajaan negeri percaya amalan kesederhanaan dalam kehidupan rakyat tanpa kira agama dan kaum akan dapat menyatupadukan rakyat untuk menikmati bersama kemakmuran, keamanan dan harmoni serta kamajuan membina modal insan,” katanya.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) menyasarkan menerima sumbangan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun untuk Dana Wakaf Tunai.
Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria berkata sasaran itu dibuat berdasarkan purata sumbangan sebanyak RM25 bagi setiap keluarga Islam di negeri ini dengan jumlah keseluruhan orang Islam di negeri ini adalah 600,000.
“Daripada jumlah itu bukan semuanya mempunyai pendapatan yang tinggi, ada juga yang kurang berkemampuan dan perlu dibantu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Dana Wakaf Tunai yang diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul di George Town hari ini.
Beliau berkata MAIP mampu membeli lebih banyak premis perniagaan yang secara tidak langsung mampu menjana ekonomi orang Islam dengan sumbangan itu.
Katanya Dana Wakaf Tunai diwujudkan tiga tahun lepas tetapi ia kurang mendapat sambutan akibat kurang penyebaran maklumat mengenai dana itu.
“Kita akan buat satu majlis untuk memperkenalkan semula dana ini supaya orang ramai lebih tahu dan mendapat maklumat yang tepat bagaimana untuk menyalurkan sumbangan mereka,” katanya.
Pelancaran dana itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dengan gimik pelancaran beliau menyerahkan wang RM5 kepada Ellias.Selain itu Ellias berkata kutipan zakat untuk Pulau Pinang setahun berjumlah RM53 juta, yang digunakan untuk membantu orang Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan