BERNAMAMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah imigran di Sabah.
"Suruhanjaya Diraja tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana kita mahu penyelesaian...kita mahu sesuatu yang praktikal yang boleh diselesaikan, suatu imbangan antara ekonomi dan syarat keselamatan," katanya di Kluang.
Hishammuddin, yang juga ahli parlimen Semberong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Semberong di Kahang, hari ini.
Katanya, kerajaan menubuhkan sebuah makmal bagi mengkaji permasalahan imigran di Sabah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Jikalau dapati cadangan (oleh makmal) itu adalah kukuh maka sokongnya. Sekiranya cadangan itu tidak sebaik mungkin maka cadang sesuatu yang lain," katanya.
Mengenai dakwaan seorang ahli perniagaan yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Sabah yang diisytiharkan sebagai pemerintah di wilayah Sulu di selatan Filipina, Hishammuddin berkata, dakwaan terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan masalah imigran di negeri terbabit.
Katanya, terdapat tiga laporan polis dibuat terhadap ahli perniagaan itu dan siasatan sudah dimulakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan