THE MALAYSIAN INSIDER
KUALA LUMPUR — Calon-calon barisan Pro Mahasiswa mencatatkan prestasi lebih baik dengan menguasai lapan daripada 13 universiti yang mengadakan pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) semalam.
Berbanding sesi lalu, pilihan raya kali ini menyaksikan Pro Mahasiswa mencatatkan sejarah dengan menawan kepimpinan MPP di beberapa universiti selepas tempoh yang lama dikuasai Pro Aspirasi.
Ini termasuklah MPP Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Malaysia kampus Kubang Kerian, Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.
Meskipun kedua-dua kumpulan itu bukan badan formal di pusat pengajian tinggi awam tetapi lazimnya mereka sinonim dengan arah aliran sokongan dan landskap politik di luar kampus.
Pro Mahasiswa dikaitkan dengan sokongan kepada pembangkang manakala Pro Aspiras lebih cenderung kepada parti pemerintah kerajaan pusat.
“Prestasi kali ini jauh lebih baik berbanding sesi pengajian lalu... bukan baik tetapi jauh lebih baik, khususnya di universiti-universiti awam yang berada di Lembah Klang,” kata anggota Majlis Tertinggi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hilman Idham kepada The Malaysian Insider hari ini.
“Pada sesi lalu kami kalah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, malah kalah teruk di Universiti Putra Malaysia dengan tujuh calon Pro Mahasiswa telah dibatalkan kelayakan... tetapi keputusan kali adalah sebaliknya,” kata beliau lagi.
Kali ini kata beliau, walaupun kalah di Universiti Putra Malaysia tetapi jumlah calon Pro Mahasiswa yang menang adalah seramai 11 orang.
Di universiti itu, calon Pro Aspirasi menang dengan majoriti besar apabila menguasai 32 kerusi termasuk lima kerusi umum.
Hilman yang juga pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, keputusan ini menunjukkan bahawa mahasiswa mahukan perubahan dalam banyak aspek membabitkan universiti-universiti awam termasuk berhubung cara pilihan raya kampus dikendalikan.
“Selain itu mereka sebagai pelajar universiti menyampaikan mesej yang jelas ekoran penindasan yang dilalui ketika pilihan raya kampus sesi lalu,” katanya yang turut menambah, kejayaan ini akan digunakan untuk meningkatkan kualiti perjuangan kepada komuniti pelajar negara ini.
Selain MPP Universiti Putra Malaysia, kumpulan Pro Aspirasi juga menguasai kepimpinan pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia kampus Kuala Lumpur.
Calon-calon Pro Mahasiswa tidak bertanding di Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Hari ini pilihan raya kampus diadakan di Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Mara.
“Kami yakin Pro Mahasiswa akan menang di UIA memandangkan setakat ini sudah pun memperoleh 14 kerusi tanpa bertanding,” kata Hilman.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, seramai 6,686 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengundi bagi memilih seramai 15 anggota MPP universiti itu tahun ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata pemilihan yang diadakan setiap tahun itu menggunakan system e-Undi melalui komputer, berbeza dengan universiti-universiti di Pantai Barat yang masih menggunakan kertas undi.
“Saya dapati pemilihan hari ini berjalan lancar dan tidak ada sebarang gangguan berlaku. Cuma kalau universiti besar itu, hangat sedikit kerana banyak kelompok serta pengaruh dari luar. Pemilihan MPP UMT tidak dimasuki unsur luar atau pengaruh politik dari luar . . .,” katanya ketika ditemui di sini.
Dr Yahaya berkata pemenang MPP akan bertanggungjawab merancang dan melaksanakan program-program sebagaimana yang dirancang dan membawa usul kepada pengurusan universiti untuk meperbaiki kemudahan dan kebajikan penuntut.
“Mereka akan mewakili universiti ke peringkat nasional bersama dengan MPP universiti-universiti lain dan banyak program-program yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, mereka akan mengikutinya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan