Jawatankuasa Kabinet meluluskan peruntukan ini untuk memperkasa lagi institusi Mahkamah Anak Negeri Sabah.
PENAMPANG: “Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM60 juta untuk memperkasakan lagi institusi Mahkamah Anak Negeri Sabah,” kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Tan Sri Bernard Dompok berkata peruntukan telah diluluskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipergerusikan oleh Perdana Menteri pada 7 Februari yang lalu.
Peruntukan RM60 juta untuk Mahkamah Anak Negeri Sabah ini adalah sebahagian daripada peruntukan awal RM100 juta bagi pelbagai program khas Bumiputera Sabah dalam ‘rolling plan’ Rancangan Malaysia Kesepuluh,” ujar beliau ketika ditemui wartawan selepas pelancaran Klinik Bergerak dan Ambulan Klinik Kesihatan Penampang.
Dompok, yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal itu, menjelaskan RM60 juta akan digunakan untuk membina sebuah institusi Mahkamah Anak Negeri Sabah dan menaiktaraf serta membina bangunan tersendiri Mahkamah Anak Negeri di empat residensi di Sabah.
Beliau menambah, baki peruntukan RM40 juta digunakan untuk program lain yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Sabah bagi memakmurkan lagi Bumiputera Sabah.
Pembinaan institut Mahkamah Anak Negeri Sabah ini tercetus semasa makmal khas yang dianjurkan oleh Unit Penyampaian dan
Pengurusan Prestasi (Pemandu) dengan kerjasama Jawatankuasa yang saya terajui,” ujar Dompok.
Beliau yang juga Presiden UPKO itu menyatakan bahawa parti beliau telah mengemukakan supaya institusi Mahkamah Anak Negeri dinaiktaraf sama seperti Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
“Justeru, pembinaan institut ini tepat pada masanya. Kita yakin institusi ini boleh meningkatkan lagi martabat Mahkamah Anak Negeri Sabah,” ujar beliau.
“Kita berharap keputusan ini akan memperkukuhkan lagi usaha kita selama ini yang telah meminta supaya Mahkamah Anak Negeri ini sebahagian daripada institusi kehakiman setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” kata Dompok lagi.
Dompok menambah bahawa Jawatankuasa Teknikal akan memantau status pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan