HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Februari 2011

Polis S'gor luah taat setia menerusi Taridra

BERNAMA

Polis Selangor menampilkan persembahan 'Taridra' bagi menunjukkan kesetiaan dan tanda menjunjung kasih kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah malam ini.

Pementasan itu dijayakan oleh kumpulan Wariseni Budaya dari Shah Alam, yang menggabungkan elemen lakon, gerak tari, komedi dan nyanyian.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata ia bagi menggambarkan Polis Selangor bersemangat tinggi untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

"Selain sebagai tanda menjujung kasih Polis Selangor yang berkhidmat di bawah payung Tuanku, pementasan ini turut memaparkan tentang kekuatan sesuatu bangsa dan negeri yang terletak pada kekuatan ikatan antara rakyat dan pemerintahnya," katanya ketika berucap selepas merasmikan pementasan itu di Petaling Jaya.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A Tahiveegan.

Tun Hisan juga berkata Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab mempertahan dan menjaga kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

"Bukan sahaja anggota PDRM, malah seluruh rakyat jelata perlu menyemai dalam diri rasa taat kepada raja dan negara...raja dan rakyat berpisah tiada," katanya.


Tiada ulasan: