KUCHING – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkeyakinan bahawa Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sarawak hujung minggu ini akan menjamin kekuatan yang mengagumkan bagi BN negeri berdepan pilihan raya negeri yang bakal diadakan, kata Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan hari ini.
Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata SUPP berharap gagasan BN di Sarawak akan bekerjasama sebagai sebuah barisan yang bersatu susulan konvensyen itu, yang dijangka amat penting di tengah-tengah spekulasi yang memuncak bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, yang mempunyai 71 anggota, berkemungkinan dibubarkan pertengahan bulan ini.
“Kami akan menyertai pilihan raya ini sebagai BN yang kuat,” katanya pada sidang media sempena pertandingan mereka cipta logo Yayasan Perpaduan Sarawak di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini.
Kira-kira 5,000 perwakilan daripada kesemua empat parti komponen BN dan pelaksana dasar akan turut diberi peluang membahaskan isu penting, terutamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan cara menterjemahkannya untuk meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Sambil mengakui bahawa beliau tidak tahu tarikh sebenar pilihan raya negeri, Dr Chan berkeyakinan penuh bahawa SUPP akan mencapai keputusan lebih baik berbanding pilihan raya negeri 2006 berdasarkan kerja keras parti, konsep pemikiran baru dan gandingan muka baru serta veteran yang akan diketengahkan bagi 19 kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan