SHAH ALAM : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa Kerajaan Persekutuan mengenepikan kepentingan politik dalam isu memberikan kelulusan segera terhadap hasrat kerajaan Selangor untuk membina sekolah berasrama penuh demi kepentingan rakyat.
Menurut Khalid, perbincangan dengan pihak Kementerian Pelajaran akan tetap diteruskan selepas beberapa siri perbincangan dengan pihak kementerian tidak mendatangkan hasil positif.
“Sama ada kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan, usaha meningkatkan pendidikan dan kemahiran mesti diberi keutamaan tidak perlu fikir sama ada ia dibuat oleh negeri atau persekutuan yang penting keperluan rakyat menjadi keutamaan kerana kita mahu setiap rakyat negeri dan negara mesti dapat pendidikan yang terbaik. Jadi saya rasa tidak ada halangan dari segi visi boleh jadi birokrasi saja yang melambatkannya.”
Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang 2011 anjuran Persatuan Namakkal Malaysia di sini hari ini.
Yayasan Selangor sebelum ini memperuntukkan sebidang tanah berkeluasan 30 ekar di Ijok dengan kos pembinaan sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut, namun siri pertemuan yang diadakan dengan Kementerian Pelajaran tidak membuahkan hasil.
Projek berkenaan kata Ilham ditolak oleh kementerian di bawah Timbalan Perdana Menteri itu.
“Saya tanya dia apa sebab tak bagi, sudah 10 bulan kita memohon tetapi tidak ada jawapan bertulis sama ada iya atau tidak. Sejak bulan Mei dulu, adalah panggil mesyuarat sebanyak tiga kali, minit mesyuarat tidak ada. Saya percaya permohonan kami ini telah dipolitikkan. Dan kita dukacita kerana kita sebenarnya tidak ada agenda politik, ia semata-mata untuk kepentingan akademik pelajar," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.
Menurut Ilham, Yayasan Selangor merupakan satu-satunya yayasan yang mengambil tanggungjawab untuk mendirikan sekolah dan diserahkan operasinya kepada kementerian dalam memastikan aspek pendidikan di Selangor terus berkembang pesat.
Permohonan Kerajaan Selangor telah pun dilakukan sejak bulan Oktober tahun lalu.
Menurut Khalid, Kerajaan Pusat seharusnya menyokong langkah baik Kerajaan negeri Selangor itu untuk memperbaiki mutu perkhidmatan pendidikan melalui pembinaan Sekolah Berasrama Penuh itu akan diterima kerana ia hanya menguntungkan rakyat tanpa mengira ideologi mereka.
"Saya fikir mereka yang berfikiran logik di Kerajaan Pusat dan Negeri akan menyokong idea di mana negeri akan membuat sekolah untuk kebaikan rakyat negara ini. Saya tak rasa orang yang bertimbang rasa akan tolak idea ini."
Selain di Ijok Yayasan Selangor turut merancang lapan lagi sekolah berarasrama penuh di seluruh negeri bagi membantu mempertingkatan mutu pendidikan di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan