Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan saman pemula yang difailkan Peguam Negara pada 20 Ogos 2009.
Peguam Fahda Nur Ahmad Kamar yang mewakili Selangor memberitahu pemberita bahawa dalam penghakimannya, hakim itu berkata beliau menerima pakai keputusan Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lepas, iaitu SPRM boleh meneruskan amalan sedia ada dan menyoal saksi selepas waktu pejabat.
Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu selepas menolak rayuan anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah terhadap SPRM.
Zaleha turut menolak permohonan Selangor untuk menggantung sementara prosiding mahkamah mengenai pekeliling itu sehingga Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock selesai bersidang.
Fahda Nur berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
Peguam Negara memfailkan saman pemula bagi memohon mahkamah mengisytiharkan Pekeliling No 4, 2009 bertarikh 28 Julai itu adalah batal dan tidak sah kerana melanggar Akta Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru dikuatkuasakan.
Pekeliling itu, antara lain, menyatakan anggota majlis eksekutif negeri Selangor dalam mesyuarat pada 22 Julai 2009, memutuskan semua kakitangan yang berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh ditemu bual pegawai SPRM di luar pejabat mereka.
Sebaliknya, kakitangan berkenaan hanya boleh disoal dalam bangunan setiausaha kerajaan negeri, dan semua perjumpaan dengan pegawai SPRM perlu diadakan antara 8 pagi dan 6.30 petang, menurut pekeliling itu lagi.
Pekeliling yang ditandatangani bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud itu juga menyebut, anggota majlis eksekutif memutuskan untuk memberi khidmat undang-undang kepada kakitangan awam semasa mereka disoal pegawai SPRM.
Pekeliling berkenaan didraf selepas Teoh, 30, setiausaha politik exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009.
Sebelum itu, Teoh disoal siasat oleh pegawai SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan