HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 April 2011

PAS bantah perobohan tadika PASTI

Elissa Helmy

PAS Melaka tetap akan mempertahankan sebuah tadika PASTI yang terletak di Bukit Katil daripada dirobohkan bagi tujuan pembinaan jalan di situ.

Ketua penerangan kawasan itu Mohd Yusof Wahab berkata, PAS tetap tidak akan berganjak malah tidak akan menerima sebarang bayaran pengambilan tanah dari kerajaan negeri.

Mohd Yusof yang juga pengerusi jawatankuasa bertindak mempertahankan PASTI itu berkata, pihaknya mempertahankan pusat pendidikan itu kerana ia sudah beroperasi lebih 15 tahun dan sudah mendidik ribuan pelajar.

Katanya, walaupun cadangan pengambilan tanah terhadap tapak sebuah surau yang terletak di situ bagi pembinaan jalan berkenaan tidak lagi diteruskan setelah kajian semula dilakukan kerajaan negeri, namun tapak tadika PASTI tetap akan diambil.

"Kita hanya mempertahankan hak kita. Kita akan teruskan bantahan dan kita tidak akan berganjak daripada ini.

"Lagi pun, pihak yang mewakafkan tanah ini dulu, adalah bagi tujuan didirikan sekolah untuk mendidik anak bangsa supaya lebih berakhlak mulia.

"Tambahan pula, kos untuk membina sekolah ini mencecah RM110,000 dan semuanya adalah hasil sumbangan orang ramai yang bertujuan mendidik anak bangsa. Kami lima sen pun tidak guna wang kerajaan," katanya.

'Bukan tiada alternatif'

Jelas Mohd Yusof, sebelum ini, beberapa siri bantahan telah diadakan berikutan cadangan pembinaan sebuah jalan di kawasan ini yang akan mengakibatkan tanah tapak tadika PASTI dan sebuah surau diambil kerajaan negeri.

Bagaimanapun, setelah dikaji semula, tapak surau berkenaan tidak lagi termasuk dalam kawasan yang akan diambil.

"Kalau kerajaan negeri boleh keluarkan peruntukan berjumlah RM500 juta untuk bina Sekolah Harapan yang bertujuan untuk memulihkan kembali akhlak remaja terlanjur, mengapa pula hendak robohkan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di sini.

"Hanya semata-mata hendak membuat jalan, mengapa sanggup korbankan sekolah ini yang ternyata niatnya juga sama untuk mendidik anak bangsa ke arah akhlak terpuji. Masalahnya, bukan tiada alternatif lain.

"Sedangkan laluan lain pun ada, mengapa nak robohkan tadikan PASTI ini. Jelas kerajaan negeri ada muslihat tersendiri" dakwanya.

Menurut Mohd Yusof, sebagai membantah pengambilan tanah berkenaan, satu majlis solat hajat telah diadakan bertempat di Pasti Bukit Katil malam semalam.

Turut serta pada majlis itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub serta wakil dari PKR dan DAP akan turut memberi ceramah semasa program berkenaan.

Usaha Malaysiakini mendapatkan penjelasan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam setakat ini belum berhasil.

Tiada ulasan: