HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 April 2011

Polis Ampang arah Anwar bantu siasatan

KUALA LUMPUR— Polis telah mengarahkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya hadir di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya berhubung kekecohan ketika majlis pelancaran DNA di pusat khidmat Ahli Parlimen Gombak, Jumaat lalu.

Notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah itu dikemukakan semalam.

Anwar semalam berada di Sarawak sempena kempen tidak formal menjelang pilihan raya negeri.

Notis tersebut mengarahkan beliau untuk hadir di ibu pejabat polis Ampang Jaya bagi disoal siasat berkaitan ceramah yang beliau sampaikan.

Semalam, tiga pemimpin kanan PKR memberikan kenyataan mereka termasuk timbalan presidennya Azmin Ali.

Bagaimanapun peguam PKR menyifatkan pihak polis secara salah telah mengacau ganggu ceramah sebaik saja Anwar memulakan ceramah, melakukan tangkapan tidak sah dan mengasari Azmin, yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari ini, N Surendran berkata, siasatan ke atas Anwar kali ini adalah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

Surendran berkata, kedua-dua akta itu “zalim dan bercanggah dengan perlembagaan”, lazimnya diguna pakai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menghalang kebebasan bersuara dan berhimpun.

“Kami memerhatikan BN secara terus menerus bertindak di luar batas moral dan undang-undang untuk merendahtarafkan keluhuran undang-undang dan menjadikan negara ini sebagai negara polis,” katanya lagi.

Kata beliau, jelas terbukti BN sedang bersedia untuk menggunakan apa jua kaedah-kaedah yang jelek dan berniat jahat untuk mengukuhkan cengkaman mereka ke atas negara untuk kekal berkuasa.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, adalah merupakan satu hak yang sah dalam konteks perlembagaan mengenai peranan Ketua Pembangkang untuk membuat kritikan dan menyediakan peranan ‘semak dan imbang’ ke atas semua tindakan dan dasar kerajaan.

“Menyalah guna dan memanipulasi kuasa untuk menyasar, mencabul dan menakuti Ketua Pembangkang lebih bersifat satu bentuk serangan ke atas sistem demokrasi kita,” katanya lagi.

Tambah beliau siasatan terbaru ke atas Anwar ini jelas bermotifkan politik, berniat jahat dan satu bentuk penyelewengan kuasa polis yang terang dan jelas.

“Kami mendesak agar siasatan tidak berasas ini dihentikan pada kadar segera dan semua yang bertanggungjawab menginstitusikan penyelewengan ini dihadapkan ke muka pengadilan, tanpa mengira setinggi mana kedudukan ataupun kuasa mereka.

“Kami juga mendesak agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bertujuan untuk menyiasat penyalahgunaan dan penyelewengan Barisan Nasional atas pihak polis dan kuasa pendakwaan dalam menyerang, memalukan, menjatuhkan hukuman dan memenjarakan politisi pembangkang, aktiviti masyarakat, dan pihak-pihak yang kritis ke atas pemerintah,” kata Surendran yang juga Naib Presiden PKR.

Semalam, selain Azmin dua lagi Adun Pakatan Rakyat Selangor yang memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung ceramah haram di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gombak di Taman Melawati ialah Adun Batu Caves Amirudin Shari dan Saari Sungib dari Hulu Kelang.

Azmin, yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, pegawai polis yang merakamkan percakapannya mengajukan 18 soalan yang dianggap ada kaitan dengan ceramah itu.

Tiada ulasan: