KUALA LUMPUR – Polis belum menahan mana-mana pihak berhubung isu rakaman video seks, yang didedahkan awal minggu lalu oleh tiga “Datuk T”, mendakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) berkata, berdasarkan maklumat yang pada beliau belum ada mana-mana pihak yang ditahan setakat ini.
“Setahu saya, tidak ada pihak yang ditahan lagi,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Laporan media minggu lalu menyebut bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditahan selepas disoal siasat selama lima di Bukit Aman, malam Khamis lalu.
Mereka dilaporkan dilepaskan dengan diikat jamin.
Bagaimanapun kedua-duanya telah menafikan ditahan polis.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga mendakwa tidak cukup bukti untuk mendakwa kedua-dua mereka bersama Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim – tiga “Datuk” yang mengaku bertanggungjawab atas pendedahan rakaman tersebut.
“Anda kena tanya pendakwa atau polis,” kata Hishammuddin apabila ditanya bila “Datuk T” akan ditahan kerana memiliki dan menayangkan rakaman video seks.
Kata beliau, siasatan adalah berdasarkan pada laporan polis Anwar yang dibuat pada 22 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan