KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Kelantan gagal dalam usahanya memindahkan kes tuntutan royalti minyak terhadap Petronas ke mahkamah komersial selepas Mahkamah Tinggi Sivil menolak permohonannya.
Hakim Zabariah Mohd Yusof memutuskan untuk mendengar kes tersebut di bahagian sivil selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di kamarnya.
Justeru, beliau menetapkan 21 April ini untuk sebutan kes itu.
Kes itu pada awalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Komersial pada Ogos lalu oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagaimanapun ia dipindahkan ke mahkamah sivil, yang menurut kerajaan negeri Kelantan dilakukan tanpa pengetahuannya.
Pada 15 Mac lalu, kerajaan negeri Kelantan memfailkan permohonan agar kes tuntutan royalti minyak yang difailkan Ogos lalu, dipindahkan semula ke bahagian dagangan Mahkamah Tinggi, bukannya didengar oleh bahagian sivil.
Dalam permohonan yang dibuat menerusi Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa, kerajaan negeri Kelantan berkata pihaknya terkilan dengan keputusan memindahkan kes tersebut, yang dibuat secara pentadbiran dan tanpa pengetahuan atau persetujuannya.
“Oleh yang demikian ia merupakan satu keputusan yang salah di sisi undang-undang, dan hendaklah diperbetulkan.
“Saya telah seterusnya dinasihatkan oleh firma tersebut dan sesungguhnya percaya bahawa guaman ini hendaklah dipindahkan kembali ke Bahagian Dagangan selaras dengan Arahan Amalan No. 1 Tahun 1989 yang menyatakan panduan untuk menentukan perkara-perkara yang terangkum di bawah setiap bahagian dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” kata Husam dalam permohonan tersebut.
Pada 30 Ogos lalu, kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalti yang dianggarkan RM800 setahun sejak 2005.
Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Kerajaan Kelantan mengambil keputusan muktamad pada 25 Ogos lalu untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan