HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 Jun 2011

Akta Kg Baru: Kabinet tentukan nasib jika majoriti bantah




KUALA LUMPUR — Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau akan menyerahkan kepada Kabinet untuk menentukan nasib Rang Undang-undang Perbadanan Kampung Baru jika tidak mendapat sokongan majoriti pemilik tanah kawasan itu.

Jelas Raja Nong Chik (gambar), masa depan rang undang-undang itu yang dijangka dibentangkan hujung bulan ini bergantung pada hasil referendum yang disertai pemilik di tanah milik eksklusif orang Melayu berusia 111 tahun itu.

“Kalau tidak mendapat sokongan (majoriti) saya akan bentangkan perkara ini kepada jemaah menteri (untuk diputuskan).

“Nanti baru akan ditentukan sama ada rancangan ini diteruskan atau tidak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Titiwangsa di Hotel Royale Chulan di sini.

Bagaimanapun beliau berkeyakinan rancangan kerajaan untuk memajukan kawasan itu dapat diteruskan ekoran respons positif daripada pemilik dan pewaris tanah.

Jelas Raja Nong Chik, pindaan yang dibuat terhadap rang undang-undang mendapat respons positif, memberikan satu gambaran baik hasrat kerajaan untuk memajukan kawasan itu akan tercapai.

“Dalam sesi penerangan yang kita lakukan, respons yang diberikan amat baik... respons positif dan saya yakin kita akan dapat sokongan majoriti (daripada pemilik dan pewaris tanah).

“Apa yang kita lakukan ada untuk mereka, kita mahu memajukan kawasan itu... ini harapan saya,” katanya.

Semalam merupakan hari terakhir sesi pembentangan penerangan berhubung rang undang-undang itu yang dipinda ekoran protes pemilik dan pewaris tanah.

Dalam kesemua sesi penerangan yang bermula dari minggu lalu, pemilik dan pewaris tanah dari tujuh kampung diberi boring Referendum Pembangunan Kampong Baru untuk tujuan penilaian Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen hujung bulan ini.

Borang itu menyenaraikan tiga soalan iaitu sama ada pemilik tanah bersetuju dengan cadangan kerajaan mahu membangunkan semula Kampung Baru, syor diadakan sebuah perbadanan pembangunan yang akan bertindak sebagai penyelaras utama dan agar pembangunan di kawasan itu dilaksanakan oleh syarikat berkaitan dengan kerajaan.

Tujuh kampung itu adalah Kampung Atas A, Kampung Atas B, Kampung Masjid, Kampung Hujung Pasir, Kampung Pindah, Kampung Paya dan Kampung Periok.

Semalam, Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru Shamsuri Suradi berkata, masa depan rang undang-undang itu bergantung pada hasil referendum yang disertai pemilik dan pewaris kawasan itu.

Rang Undang-undang Perbadanan Kampong Baru 2010 dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 14 Disember lalu bagi membolehkan penubuhan sebuah perbadanan yang bertanggungjawab merancang dan mengawal selia pembangunan Kampung Baru.

Bagaimanapun rang undang-undang itu yang dijadual dikemukakan untuk bacaan kali kedua dan dibahas pada persidangan yang berakhir Mac lalu ditangguh sehingga Jun bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

Pada sidang media itu juga, Raja Nong Chik berkata, pihaknya bercadang untuk mewujudkan satu tabung khas bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memberi rumah dalam program perumahan rakyat.

Jelas beliau, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ada 35,000 rumah dan sehingga kini 24,000 pembeli sudah membuat permohonan.

“Tabung ini akan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli rumah ini, ia masih lagi di peringkat cadangan dan saya akan bentangkan perkara ini dalam jemaah menteri nanti.

“Kita lakukan ini agar dapat mengatasi masalah mereka yang nak beli rumah, tapi tak dapat pinjaman sebab ramai di antara mereka adalah warga emas dan ada yang tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Raja Nong Chik juga berkata, beliau kesal dengan sikap individu yang menyewa di rumah perumahan rakyat kerana enggan menjelaskan bayaran penyelenggaraan menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menampung beban RM50 juta sejak skim program perumahan rakyat dilancarkan.

“DBKL tanggung hutang sebanyak RM50 juta sebab mereka ini tidak bayar (kos penyelenggaraan) berjumlah RM124 sebulan.

“Sebenarnya ada tiga kategori (yang enggan bayar), yang pertama memang tak mampu bayar, lambat bayar dan ketiga memang tak mahu bayar... yang ini kita akan tegas,” katanya.

Tiada ulasan: