KUALA LUMPUR: Pas memberi kata dua kepada kerajaan samada menunaikan tuntutan Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (Bersih 2.0) atau berdepan dengan himpunan rakyat pada 9 Julai depan, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bersih sebelum ini menuntut kerajaan melaksanakan sistem pilihan raya adil dan bersih, antaranya supaya daftar pemilih dibersihkan, penggunaan dakwat kekal, media yang lebih telus dan pemansuhan undi pos.
“Tunaikan tuntutan atau sedia hadapi himpunan aman rakyat. Tujuan kami satu, demokrasi yang lebih adil untuk semua demi kebaikan negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, beliau menganggap laporan polis yang dibuat Umno berhubung perhimpunan tersebut sebagai bukti mereka mempertahan ketidakdilan dalam sistem politik negara yang bobrok.
“Tindakan Umno membuat laporan polis mencerminkan sikap double standard mereka kerana mutakhir ini merekalah menjadi juara dalam menganjurkan demonstrasi di negeri PR, namun sayangnya polis hanya menonton sahaja walaupun demo tersebut bersifat provokasi agama dan kaum.” ujarnya yang juga mantan Naib Presiden Pas.
Mengulas mengenai 350 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak , tegas beliau, Umno sepatutnya melihat secara rasional mengapa himpunan itu dianjurkan.
“PAS ingin tegaskan bahawa himpunan ini diadakan setelah pelbagai saluran digunakan bagi memperbaiki sistem politik negara.
“Pelbagai dialog, diskusi laporan polis dan SPRM telah dibuat bagi memperbaiki kelemahan dalam perjalanan sistem pilihanraya umum di Malaysia,” kata beliau.
Tambahnya, rakyat juga perlu diberitahu himpunan tersebut bukan untuk menimbulkan kegawatan atau menggangu ketenteraman awam seperti mana yang dibimbangi orang ramai.
“Himpunan ini akan berjalan lancar dan aman sekiranya tiada provokasi dari pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Dengan ratusan petugas unit amal dan kawalan pemuda PR kita yakin ia mampu berjalan dengan aman dan baik,” ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan