HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Jun 2011

Dedah butiran pembiayaan pelabuhan oleh GLC- Azan Ismail

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Kerajaan dituntut mendedahkan dokumen dan butiran perjanjian bon jangka panjang dan pembiayaan luar pelabuhan Malaysia yang dikendali syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

“Bon yang bersandar kepada jaminan kerajaan seharusnya dibentang di Parlimen oleh Kementerian Pengangkutan kerana dana yang diperolehi GLC itu ditampung rakyat.

“Seharusnya GLC ini tak perlu lagi mendapat pembiayaan baru kerana mereka punya kekuatan kewangan sendiri,” kata Azan menjelaskan, daripada sejumlah 27 pelabuhan di Malaysia, 5 daripadanya dikendalikan GLC.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen memberi respon kepada soalan bertulis Yusoff Mahal (Labuan) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan peruntukan yang dibelanjakan kementerian dan GLC bagi kerja menyelenggara pelabuhan milik kerajaan mulai 2007 hingga Mei 2011.

“Kementerian turut dituntut menjelaskan sama ada wujud cadangan baru untuk meminimakan persetujuan semula bon jaminan kerajaan. Penerbitan bon yang baru adalah berisiko, seperti mencagarkan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azan menuntut Kementerian melaporkan butiran liabiliti yang ditanggung oleh GLC dan pelabuhan yang berkaitan.

“Ini kerana bon terbitan mempunyai tempoh tertentu untuk dijelaskan, termasuk faedah-faedah yang perlu dibayar. Maklumat ini perlu diubah statusnya dan bukannya tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Persepsi pelabur asing terhadap ekonomi negara bergantung ketelusan pentadbiran dan audit.

“Sebagai contoh, bon yang dikeluarkan Kuala Dimensi bagi projek PKFZ tidak mempunyai nilai melainkan dijamin kerajaan. Apabila kes ini menjadi isu besar kerajaan cuba menutupnya. Ini menyalahi amalan kewangan dan perniagaan yang telus,” katanya.

“Apakah kerajaan sedang berkira-kira untuk tidak mendedahkan perkara ini kerana takut hilang sokongan dalam pilihan raya?” soal Azan.

Tiada ulasan: