HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 Jun 2011

Dua pegawai digantung, panel siasat ketuk ketampi warga Singapura

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dua pegawai imigresen digantung tugas ekoran laporan bahawa dua wanita Singapura dipaksa melakukan ketuk ketampi dalam keadaan berbogel minggu lalu selepas ditahan kerana dipercayai memasuki Malaysia secara tidak sah.

Akhbar Straits Times Singapura dalam laporannya hari ini berkata Kementerian Luar republik itu melihat perkembangan tersebut sebagai “sesuatu serius dan menimbulkan kebimbangan.”

“Kami mengalu-alukan pengumuman segera pihak berkuasa Malaysia bahawa siasatan segera akan diadakan,” kata akhbar itu memetik jurucakap kementerian tersebut.

Akhbar itu melaporkan kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad semalam bahawa pegawai-pegawainya telah digantung tugas sehingga satu inkuiri pelbagai peringkat selesai.

Alias berkata panel tujuh orang itu akan menyerahkan laporannya kepada Jabatan Imigresen dan kemungkinan akan memanggil kedua-dua wanita itu jika perlu.

Bagaimanapun kata beliau, tindakan menahan dua warga terbabit adalah sah di bawah Akta Imigresen.

Akhbar itu juga berkata kedua-dua wanita berkenaan akan menyerahkan kenyataan bertulis kepada Kementerian Luar Singapura hari ini.

Kementerian Luar akan menyerahkan kenyataan mereka kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura agar penyiasat Malaysia akan membuat rumusan dengan segera, lapor Straits Times yang memetik jurucakap kementerian itu.

Menurut laporan media awal minggu ini, dua wanita warga berkenaan yang memandu ke Johor Baru untuk makan malam telah disoal oleh pegawai-pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dengan digari, dihumban ke dalam pusat tahanan dan yang paling teruk diarah ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel.

Dua wanita malang itu dikatakan memandu ke Johor Baru secara tidak sah dengan pasport masing-masing tidak dicap ketika melalui kaunter imigresen.

Mereka dibenarkan pulang ke Singapura selepas 48 jam ditahan dengan turut diberikan amaran.

Berang layanan yang tidak berperikemanusiaan itu, kedua-dua mereka berkata tidak akan menjejakkan kaki ke Malaysia walaupun dijemput berbuat demikian.

Tiada ulasan: