| KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor diminta mengkaji semula cadangan mekanisma perlepasan unit-unit hartanah kouta bumiputra dengan mendapatkan pandangan banyak pihak terlebih dahulu sebelum meluluskannya.
Pemimpin masyarakat, NGO, tokoh-tokoh akademik, budayawan dan lain-lain pihak berautoriti harus dilibatkan untuk mendapatkan pandangan dalam membuat keputusan sebagai jalan tengah, bagi mengatasi masalah hartanah bumiputra di negeri Selangor.
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor sependapat dengan Pemuda PAS Selangor agar cadangan itu dikaji semula.
Mereka tidak mahu Kerajaan Pakatan Rakyat, khususnya Selangor, difitnah oleh pihak tertentu kononnya tidak memberi penekanan kepada kepentingan orang Melayu dan bumiputra seperti yang tercatat dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia.
Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizat Kaiat (gambar) berkata, Kerajaan Negeri Selangor difahamkan akan meluluskan pindaan baru berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Menurut beliau, terdapat beberapa ruang yang merugikan bumiputra sekiranya cadangan itu diluluskan dan ruang itu pula akan mudah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
Katanya, bagi mengelakkan perkara itu, Kerajaan Negeri Selangor harus memberikan perhatian kepada beberapa perkara untuk diperhalusi.
"Pertamanya, tidak terdapatnya penandaan pelan untuk kouta bumiputra yang wajib dilaksanakan oleh pihak pemaju. Penandaan pelan ini berperanan untuk menentukan di mana lokasi yang telah dikhaskan kepada bumiputra. Ini memudahkan pihak kerajaan membuat pemantauan.
"Jika tiada sebarang penandaan pelan, maka ruang ini sangat mudah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Contohnya menyediakan lokasi bumiputra ditempat tidak strategik, menyembunyikan kouta bumiputra daripada pembeli dan memindahkan sesuka hati lokasi hartanah bumiputra.
"Menariknya, terdapat cadangan penandaan pelan semasa cadangan dibentang pada 2hb Mac 2011 tetapi sekarang telah digugurkan. Kerajaan Negeri Selangor perlu memberi justifikasi yang jelas kepada rakyat kenapa digugurkan penandaan pelan kouta bumiputra jika mahu meluluskan cadangan ini," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Manakala perkara kedua yang harus diperhatikan oleh Kerajaan Selangor, menurut beliau, tiada terdapatnya peranan Jawatankuasa Penandaan Unit Kouta Bumiputra (JPUKB) dalam cadangan terbaharu kerajaan negeri.
Katanya, JPUKB berperanan untuk memastikan kouta Bumiputra yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dipenuhi dan menentukan unit-unit jualan bagi kouta Bumiputra berdasarkan kelulusan PBN.
"Dalam cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’, telah mengugurkan kuasa JPUKB dan telah diganti oleh badan audit bebas. Pemaju dapat meluluskan perlepasan kouta bumiputra secara automatik. Badan audit bebas akan dilantik untuk membuat audit bagi mengelakkan penipuan daripada pihak pemaju.
"Masalahnya cadangan kerajaan negeri yang bersifat ‘self regulatory’ dilihat terlalu longgar dan tidak jelas bagaimana kouta bumiputra boleh dipertahankan. Bagaimana rakyat mahu mambuat bantahan jika kerajaan negeri sendiri pun tidak jelas apa yang perlu dipertahankan," tegasnya.
Perkara ketiga pula yang harus diperhatikan oleh Kerajaan Selangor, katanya, dalam cadangan terbaharu itu tidak dijelaskan dengan nyata peranan badan-badan yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membeli hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli oleh pembeli bumiputra.
"Contohnya seperti Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB). Peranan PHSSB adalah sebagai pengurus kepada semua hartanah bumiputra. Ia mampu mencari keseimbangan dalam mengatasi masalah hartanah bumiputra yang tidak mampu dibeli.
"Kepincangan ini dikuatiri akan menyebabkan ketidakseimbangan penduduk dalam sesuatu taman perumahan. Masalah ini akan meningkatkan jurang perkauman yang sangat merbahaya dalam negara kita," katanya.
Kerajaan Selangor difahamkan akan meluluskan pindaan baru itu ekoran cadangan yang dikemukakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada 2 Mac lalu, berhubung cadangan mekanisme pelepasan unit-unit hartanah kouta Bumiputra.
Walau bagaimanapun, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah mengarahkan agar kajian semula dilakukan berhubung cadangan itu supaya ia bersifat 'self regulatory'.
Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) dalam kenyataannya kepada harakahdaily, hari ini, turut membantah cadangan pelepasan kuota Bumiputera secara automatik yang akan diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.
Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) menegaskan, cadangan terbaru itu adalah membelakangkan beberapa cadangan yang dilihat sangat baik untuk menjaga dan menyediakan satu garis panduan pelepasan kuota Bumiputera yang telah diluluskan pada Mac 2011.
Menurut beliau, cadangan terdahulu, pertamanya, melibatkan penandaan pelan. Jawatankuasa Penandaan Unit Kuota Bumiputera akan menentukan unit bumiputera sewaktu penyediaan Pelan.
Katanya, kedua, pemaju hendaklah mengemukakan rekod jualan termasuk senarai nama pembeli Bumiputera dan bukan Bumiputera.
Ketiga, Jawatankuasa Pelepasan Kuota Bumiputera (JPKB) akan bersidang selepas 6 bulan projek perumahan mendapat CF/CCC.
"Walau bagaimanapun, di dalam cadangan baru ini, ketiga-tiga elemen tersebut tidak lagi wujud. Ini bermakna pemaju akan berhak menentukan lot-lot Bumiputera dan sudah pasti dengan harga potongan 7% Bumiputera, pemaju akan meletakkan lot bumiputera di lokasi yang tidak strategik.
"Pemaju juga akan memanipulasi senarai nama pembeli di kalangan pekerja Bumiputera mereka atau mana-mana pihak Bumiputera dan ini menghalang pembeli tulen (genuine buyer) untuk membeli hartanah tersebut.
"Ini juga akan menyebabkan Jawatankuasa Pelepasan Kuota Bumiputera tidak akan berfungsi dengan pelepasan kuota Bumiputera yang diberi secara automatik.
"Cadangan awal yang melibatkan JPKB adalah untuk membuat kajian pasaran dan JPKB melalui Perumahan Hartanah Selangor Sendirian Berhad boleh membeli hartanah jika difikirkan perlu, namun cadangan baru ini tidak membolehkan JPKB berbuat demikian," tegasnya.
Oleh sebab itu, katanya, DPPNS membantah cadangan baru itu atas beberapa prinsip dan yang pertamanya, isu hak Bumiputera telah disepakati oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat agar tidak boleh disentuh.
Kedua, kelemahan pelaksanaan penjualan unit Kuota Bumiputera hendaklah diperbaiki dan cadangan baru itu akan menyebabkan hak bumiputera semakin hilang.
Ketiga, konsep 'Self Regulatory' pemaju akan menyebabkan penjualan kuota perumahan Bumiputera tanpa kawalan yang akan menyebabkan berlakunya penyelewengan.
Keempat, pihak Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) Cawangan Selangor terlalu mendesak Kerajaan Negeri dengan pelaksanaan pelepasan kuota bumiputera secara automatik yang dilihat ingin mendapatkan keuntungan yang lebih, sedangkan mereka telah pun mendapat keuntungan dengan sistem sedia ada.
"Oleh itu, DPPNS meminta supaya cadangan baru ini dikaji semula dan dibincangkan secara telus dengan NGO-NGO Melayu dan pihak-pihak yang berkepentingan.
"Ini bagi membuktikan ketelusan sistem 'Good Governance' iaitu dengan mengambil kira pandangan rakyat sebelum satu-satu keputusan dikeluarkan," tegas beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan