HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Jun 2011

Komisyen Scorpene : Najib Digesa Beri Penjelasan Segera

Ditulis oleh Hadri Yaziz


 PETALING JAYA Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri Najib Razak berhubung komisyen berjumlah 114 juta Euro yang dibayar kerajaan Malaysia bersabit pembelian kapal selam Scorpene.

Ini kerana menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, keterangan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Zainal Abidin Zin di Parlimen pada 6 Disember 2006, bercanggah dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Armaris di mahkamah Perancis baru-baru ini.

Zainal Abidin dalam kenyataannya sebelum ini menyebut pembayaran dibuat oleh kerajaan Malaysia adalah yuran perkhidmatan dan sokongan pelatih-pelatih kepada pihak Perancis walhal wang berkenaan didedahkan dibayar oleh kerajaan Malaysia sebagai komisyen.

"Sebelum fakta-fakta itu dibongkar dan dibuka dalam perbicaraan penuh di Perancis, adalah lebih baik untuk Perdana Menteri sendiri sebagai Menteri Pertahanan yang menandatangani perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan Direction des Constructions Navales Services (DCNS) Perancis dan kedua yang terbabit itu adalah penasihat kanan kepada Datuk Seri Najib sendiri," katanya.

Justeru beliau turut menggesa Najib mengemukakan identiti individu ketiga yang terbang bersama Abdul Razak Baginda dan mendiang Altantuya Shaariibuu dari Kuala Lumpur ke Macau pada 2002 ketika proses perjanjian dibuat.

"Satu dah mati, satu sudah didakwa di mahkamah dan seorang lagi masih hidup dan boleh jadi sedang memegang jawatan penting, kita pun tidak tahu. Apabila perbicaraan penuh (mahkamah Perancis) sampai, kita akan tahu.

"Bahkan saya mencadangkan kepada beliau agar dapat menunjukkan maklumat perjalanan pasportnya. Kita harap imigresen jangan padam dan kalau itu boleh dilakukan maka Najib boleh dilihat bersih," tambah beliau lagi yang cuba mengaitkan dengan desakan jam Omega keatas Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, laman web Rue89 yang berpusat di Perancis mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar komisyen RM493 juta sebaliknya ia sebenarnya dibayar kerajaan Malaysia sendiri.

Laporan itu berdasarkan perbicaraan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berjalan di Perancis sekarang.

Armaris merupakan syarikat pembina kapal selam kelas diesel jenis Scorpene yang juga anak syarikat firma pertahanan Gergasi Perancis, DCNS (Direction des Constructions Navales Services) dengan usahasama firma Sepanyol Agosta.

Saifuddin turut mempersoal penglibatan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang merupakan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pengarah Boustead Holdings Berhad dipercayai mempunyai kepentingan dalam syarikat Perimekar Sdn Bhd yang menerima komisyen tersebut.

 Kata ahli parlimen Machang itu, pendedahan Lodin sebagai individu berpengaruh yang turut sama terlibat dalam urus niaga kapal selam tersebut hanya dapat dikaitkan dengan seorang individu iaitu Menteri Pertahanan pada ketika itu, iaitu Najib Razak.

"Tan Sri Lodin Wok ini adalah watak yang sangat penting menduduki banyak syarikat-syarikat yang ada kepentingan dengan MINDEF dan apabila identiti ini dikaitkan, ia cuma menjurus kepada satu orang penting iaitu Najib sendiri," ujarnya lagi.

Kini perbicaraan di mahkamah Perancis mengenai skandal pembelian kapal selam tersebut telah masuk ke peringkat awal.

sementara itu peguam Perancis yang mewakili Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dijangka tiba ke Kuala Lumpur lewat Jun atau Julai untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terbaru skandal pembelian dua kapal selam Scorpene.

Suaram memfailkan aduan terhadap DCNS pada Disember 2009, di mahkamah Paris kerana aktiviti rasuah dalam urusan pembelian berkenaan.

Skandal itu kemudian terbongkar selepas pihak berkuasa Perancis memperoleh dokumen hasil serbuan ke atas DNCS, syarikat yang membina dan menjual kapal selam kepada negara ketiga termasuk Malaysia.

Perimekar Sdn Bhd adalah syarikat milik isteri Abdul Razak Baginda, Mazlinda Makhzan yang menerima sejumlah komiysen melebihi RM500 juta itu di mana suaminya, Abdul Razak Baginda merupakan kenalan rapat Najib yang terlepas daripada kes pembunuhan kejam warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan di mahkamah Perancis sekiranya dipanggil walaupun skandal tersebut berlaku ketika Najib Razak memegang jawatan tersebut.

Perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai berbillion dollar itu dimeterai Najib ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2002.

Tiada ulasan: