| Subky Latif |
| SELEPAS tujuh tahun PAS mengadakan Muktamar di Kuala Lumpur, ia kembali mengadakan Muktamarnya di Markaz Tarbiyah di Taman Melewar Kuala Lumpur. Ia tidak mengadakan Muktamar di situ kerana kerajaan membaiki prasarananya betul-betul di sempadan Markaz Tarbiyah, malah sedikit dari kawasan tapak Markaz itu diambil bagi membesarkan sistem perparitan dan jalan. Dalam masa tujuh tahun itu Pejabat Agung parti telah pindah ke tempat lain di tengah Bandaraya Kuala Lumpur. Dan Markaz itu telah bertukar menjadi kampus Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad – KUIZM. Bangunannya sudah berubah – berwajah baru – meskipun struktur dan saiznya kekal seperti dulu. Ada perwakilan yang hadir setiap kali Muktamar memberitahu, kehadiran kali ini tidak seramai sebelumnya. Saya tidak dapat memastikannya kerana sebelumnya saya lebih banyak berada dalam dewan dan banyak memerhatikan suasana di luar. Yang saya terasa kali ini markaz yang bertukar menjadi kampus itu bertambah sempit dan orang yang bermuktamar nampak lebih padat. Kali ini saya hanya seorang pemerhati – bukan lagi ahli muktamar. Saya cuba masuk ke dewan untuk mengikuti muktamar, saya dapati ada perwakilan yang melempah keluar mengisi kerusi yang disediakan untuk pemerhati. Saya tanya mengapa duduk di luar? Jawabnya di dalam sempit dan padat. Saya tidak jadi masuk ke dewan, takut ia menambah sempitkan suasana yang sudah bersesak itu. Ada pemerhati masuk ke dalam, ada kerusi disediakan. Tetapi ia menambah kepadatan perwakilan. Ketika markaz itu dibina tahun 80-an dulu, ia dirasakan cukup lapang. Kerusi meja untuk muktamirin ada jarak antara satu perwakilan dengan yang lain. Ada ruang selesa buat bentara lalu mengedarkan kertas dan minuman. Masih banyak ruang sekali pun semua perwakilan dimuatkan di situ. Tetapi perwakilan ketika itu tidak sebanyak yang ada sekarang. Tidak semua kawasan Parlimen di Semenanjung ada Kawasan PAS. Perlembagaan parti masa itu memperuntukkan satu Kawasan terdiri dari tiga wakil. Perlembagaan telah dipinda, satu perwakilan mengikut bilangan ahli parti di kawasan itu. Minimanya tiga dan jika ahlinya ramai ia boleh menghantar sampai enam atau tujuh orang. Sebagai pindaan perlembagaan diluluskan kelihatan perwakilan bertambah dan ahli muktamirin pun bertambah. Mana-mana kawasan parlimen yang tidak ada Kawasan PAS, menubuhkan Kawasan. Bukit Bintang, Cheras, Seputih dan Kepong di Wilayah Persekutuan yang padat dengan penduduk bukan Islam pun dapat menubuhkan Kawasan PAS. Langkah pernah diambil membesarkan dewan bagi menampung keperluan yang bertambah. Dalam keadaan dewan sudah dilebar dan dipanjangkan, ia sudah ketara sesaknya. Dulu kawasan pemerhati di luar dewan itu dapat menampung pemerhati yang ramai. Mereka dapat mengikuti perbahasan dengan jelas dari luar. Mereka dapat melihat wajah perwakilan berbahas dari kaca TV yang disediakan. Halaman di depan Markaz itu dulu dipasang khemah untuk minum semasa muktmar berihat. Kali ini ia dijadikan tempat untuk perhati dan di sebelahnya di jadikan musalla. Pemerhati bersesak-sesak. Kerusi yang disediakan tidak cukup. Yang berdiri lebih ramai dari yang duduk. Tiga hari saya hadir untuk mendengar perbahasan. Keadaan menyebabkan tidak banyak yang saya dapat ikuti. Saya masuk ke dalam dewan kerana memahami keadaan. Kalau perwakilan ada yang selesa mendengar dari luar, baiklah mendengar dari luar saja. Di luar bukan tempat yang sesuai untuk menjadi pemerhati. Orang nampak kita berdiri atau duduk di situ akan datang mengajak bersembang. Itulah masa yang ada bagi rakan-rakan dari seluruh ceruk rantau yang jarang berjumpa untuk bertanya khabar dan sebagainya. Maka sebahagian dari memerhati itu terpaksa dihabiskan di gerai-gerai. Yang menjadi ia padat dan markaz itu dilihat seperti bertambah kecil adalah disebabkan Kawasan PAS sudah merayap hingga ke Sabah dan Sarawak. Selepas pilihan raya negeri Sarawak sudah beberapa Kawasan baru ditubuhkan. Semuanya menghantar wakil. Jika semua Kawasan di Sabah dan Sarawak berisi selepas ini, memaksa PAS bersedia membina markaz yang lebih besar. |
HALAMAN SANTAI
Isnin, 13 Jun 2011
Markaz tarbiyah kian sempit
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan