Ekoran Pengerusi 'Movement of Change Sarawak' (MoCS) Francis Siah yang mengugut Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud supaya meletak jawatan sebelum 13 Ogos 2011.
KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membatal sementara hasrat untuk menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Pengerusi ‘Movement of Change Sarawak’ (MoCS) Francis Siah yang mengugut Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud supaya meletak jawatan sebelum 13 Ogos 2011.
Exco Pemuda PBB Sarawak merangkap Ketua Pergerakan Pemuda PBB Zon Kuching, Wan Hamzah Wan Paie berkata, ia disebabkan siasatan dan tindakan daripada pihak polis terhadap Francis Siah sudah pun dilaksanakan.
Pada 17 Mei lalu, laporan polis dibuat oleh Pemuda PBB Zon Kuching terhadap tindakan Francis Siah yang mengugut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran ala Timur Tengah sekiranya ketua menteri tidak meletak jawatan sebelum 13 Ogos 2011.
“Pemuda PBB Zon Kuching telah dimaklumkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bahawa polis sudah memulakan siasatan terhadap Francis Siah ekoran dari laporan kami dan beberapa lagi laporan polis yang sama yang telah dibuat oleh Pemuda PBB di seluruh Sarawak.
“Maka tidak ada keperluan untuk pihak kami menghantar memorandum lanjut kepada KDN buat masa ini,” katanya di sini hari ini.
Berdasarkan kepada perkembangan itu maka Pemuda PBB kata Hamzah telah membuat pendirian untuk menyerah sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada polis dan berkeyakinan tindakan yang sewajarnya akan dikenakan terhadap Francis Siah.
Dalam masa yang sama, Pegawai Khas Kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu memberi amaran tidak akan duduk diam tetapi sebaliknya akan membantu polis untuk sentiasa memantau pergerakan Francis Siah.
“Ia bertujuan untuk memastikan kita berjaya mencegah unsur-unsur subversif dan huru hara dari melanda negeri ini,” katanya sambil menyeru orang ramai agar memulaukan pergerakan Francis Siah.
Sebaliknya beliau mengajak bersama-sama mempertahankan kesinambungan Politik Pembangunan iaitu gagasan suci Taib yang telah berjaya membangunkan Sarawak sehingga ke tahap yang kita bangga pada hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan