MELAKA — Polis menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita online mengenai seorang pengurus bank berusia 26 tahun, dari Kuala Lumpur ditahan dalam lokap selama tiga hari kerana tidak memakai tali pinggang keledar.
Ketua Polis Melaka SAC Datuk Chuah Gee Lye berkata lelaki itu ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan terhadap satu laporan mengatakan dia menghalang seorang anggota polis trafik menjalankan tugas.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 9 malam, 28 Mei lepas,” katanya dipetik laporan Bernama Online hari ini.
Pada satu sidang media semalam, Edmund Hiew, 26, mendakwa polis Melaka meletakkannya di dalam lokap selama tiga malam selepas menahannya hanya kerana tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu.
Hiew mengaku dia tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu kereta bersama empat rakannya di Melaka bulan lalu.
Hiew juga berkata polis kemudiannya menahan dia dalam lokap selepas medakwa cuba menghalang menjalankan tugas mereka.
“Saya tanya mereka apa yang saya lakukan, yang boleh diklasifikasikan sebagai menghalang seorang pegawai awam daripada menjalankan tugas, tetapi mereka tidak mahu kata,” kata Hiew.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, yang juga seorang peguam berkata, polis tidak boleh menahan mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar.
Chuah berkata pada kejadian itu, seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Laksamana Cheng Ho menahan sebuah MPV jenis Toyota Avanza dinaiki lima lelaki kerana melihat pemandunya tidak memakai tali pinggang keledar.
Katanya, selepas menahan MPV itu, anggota polis tersebut meminta pemandu iaitu pengurus bank berkenaan menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandu tetapi beliau enggan menyerahkanya, malah mempertikaikan kuasa anggota polis itu.
Chuah berkata setelah diminta beberapa kali oleh anggota polis itu, lelaki itu akhirnya menyerahkan kad pengenalannya tetapi masih enggan menyerahkan lesen memandu.
“Anggota polis itu meminta lelaki itu menyerahkan kad pengenalan dan lesen memandunya untuk tujuan mengeluarkan saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang kaledar,” katanya.
Beliau berkata apabila anggota polis itu pergi ke motosikalnya untuk mengeluarkan saman, lelaki itu mengekori anggota polis itu dan memarahinya dalam bahasa Cina dan apabila empat lagi rakan lelaki itu keluar daripada MPV menyebabkan anggota polis itu memohon bantuan daripada anggota polis lain.
Katanya, pengurus bank bersama empat lagi rakanya itu dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Melaka Tengah, di sana dia menyerahkan lesen memandunya dan anggota polis mengeluarkan saman kepadanya atas kesalahan tidak memakai tali pinggang kaledar.
“Anggota polis itu turut buat laporan mengatakan beliau diganggu menjalankan tugas, siasatan laporan itu telah dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara dua tahun, denda maksima RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata, kertas laporan siasatan itu telah diserahkan kepada timbalan pendakwa raya dan pada 31 Mei lalu, lelaki itu dibebaskan tanpa syarat sementara menunggu keputusan timbalan pendakwaraya sama ada perlu didakwa di mahkamah atau tidak.
Pada sidang media itu juga, Chuah turut menafikan dakwaan bahawa pengurus bank itu dinafikan hak untuk membuat panggilan telefon serta mendapatkan khidmat guaman kerana pihak polis tidak menghalangnya membuat panggilan daripada beliau ditahan di Jalan Laksamana Cheng Ho dan pegawai penyiasat kes telah membacakan haknya.
“Semasa ditahan di jalan itu, dia turut membuat beberapa panggilan dipercayai kepada beberapa ahli politik malah seorang ahli politik daripada sebuah parti pembangkang turut hadir ke ibu pejabat polis daerah Melaka Tengah untuk mengetahui perkembangan kes tersebut,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan