HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 Jun 2011

Saluran Paip Air Bawah Tanah Halang Kerajaan Negeri Lulus Permohonan TOL

Ditulis oleh Afeeqa Afeera



BANGI : Kerajaan negeri menyerahkan tanggungjawab untuk menyelenggara serta menjaga tanah yang dijadikan tapak perniagaan pokok hiasan dan semaian di Sungai Buloh kepada Yayasan Selangor berikutan terdapat saluran paip air bawah tanah yang sensitif di kawasan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya memaklumkan Yayasan Selangor akan memastikan tapak-tapak semaian diurus secara sistematik kerana pemilik terdahulu iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS) tidak mempunyai kepakaran teknikal.

Jelas Khalid, tanah-tanah tersebut adalah sensitif berikutan kedudukan saluran paip yang terdapat di bawahnya.

"Mulanya kami beranggapan paip-paip ini dimiliki SYABAS, tetapi selepas audit dijalankan didapati saluran paip ini adalah sebahagian daripada RM10 bilion aset air yang dimiliki kerajaan negeri.

"Maka adalah mustahak bagi kerajaan negeri mengekalkan hak pemilikan tanah ini bagi memastikan aset-aset milikan negeri dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik," kata Menteri Besar.

Beliau yang ditemui pada majlis perasmian pecah tanah projek perumahan mampu milik di Bandar Baru Bangi berkata, keadaan di kawasan tersebut sangat sensitif dan memerlukan perhatian rapi.

"Semua orang tidak boleh memiliki tanah tersebut. Tanah tersebut terdapat paip yang besar di bawahnya yang dimiliki oleh kerajaan negeri. Kalau berlaku kerosakan paip pada tanah tersebut, semua rakyat Selangor tidak dapat minum. Kita tidak boleh bagi bagi pemilikan persendirian. Tetapi untuk meminta mereka menjaganya, ia adalah sukar. Oleh sebab itu kita minta Yayasan Selangor untuk menjaga kawasan tersebut. Yayasan Selangor akan menjaga dan menyemak cara penggunaan tanah di kawasan tersebut,"jelas Khalid.

Menurut Khalid, walaupun tanah-tanah ini lebih elok dibiarkan kosong namun setelah mengambilkira kebajikan pengusaha, kerajaan negeri memutuskan bahawa perniagaan tanaman pokok hiasan dan semaian boleh diteruskan.

Menteri Besar juga memberi jaminan walaupun pengusaha semaian tidak diberi Lesen Menduduki Sementara (TOL), namun hak-hak mereka akan diambil kira.

"Pengusaha semaian ini boleh terus beroperasi tetapi mesti dijalankan dengan cara yang lebih baik. Dahulunya tanah ini tidak diurus dengan betul dan tiada pengawasan melibatkan pembangunan tanah,"jelasnya.

"Kami berpendapat Yayasan Selangor boleh menjaga tanah ini kerana Yayasan mempunyai 30 tahun pengalaman pengurusan hartanah dan Pengurus Besarnya adalah
jurutera profesional berpengalaman yang mampu memantau projek ini," kata beliau melalui kenyataannya.

Tan Sri Abdul Khalid turut menasihatkan pengusaha semaian supaya tidak terlalu bimbang dan memandang ke hadapan kerana projek tersebut akan menjadikan kawasan berkenaan lebih bersih dan sistematik selepas kerja-kerja ini siap dijalankan.

Di bawah sistem yang baru ini, isu kutipan sewa tanah yang membelenggu pengusaha-pengusaha semaian juga dapat diselesaikan.

"Kami sedar wujudnya ejen-ejen yang mengutip sewa bagi pihak dan kumpulan tertentu. Mereka ini tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri dan kutipan yang dilakukan ini adalah salah dan perlu dihentikan segera," jelas beliau.

Khalid menambah, sistem baru iti membolehkan kerajaan negeri menghentikan aktiviti memajak lesen kepada pihak lain dan hanya membenarkan pengusaha tulen sahaja menjalankan perniagaan di tapak berkenaan.

"Pajakan ini tidak adil kepada pengusaha tulen yang perlu membayar sewa tanah pada kadar biasa. Ini mungkin satu perkara biasa pada pentadbiran dahulu tetapi sebagai kerajaan baru yang telus serta bertanggungjawab, kami mahu menghentikan perbuatan ini," tegas Menteri Besar.

Terdapat kira-kira 60 pengusaha semaian di kawasan seluas 20 ekar di Sungai Buloh dan menurut kajian yang dibuat Yayasan Selangor, terdapat pengusaha semaian memperoleh keuntungan sehingga RM2 juta setahun.

Tiada ulasan: