HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 Jun 2011

Tugu: Pemuda PAS Melaka tuntut penjelasan

Syamil Aizat


MELAKA: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan tentang pembaziran yang berlaku di dalam pembinaan tugu 1Malaysia yang ditempatkan di Pantai Klebang.

Ketua penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, kos pembinaan tugu 1Malaysia tersebut bernilai RM352,000 iaitu semasa dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Februari lalu.

Katanya, os tersebut meningkat tiga kali ganda berbanding harga pasaran iaitu RM100,000.

Tugu 1Malaysia tersebut dibina daripada tetulang besi dengan ketinggian 17.7 meter dan lebar 9.1 meter yang dibaluti dengan kanvas pada bahagian depan dan belakangnya dengan asasnya diperbuat daripada konkrit.

Manakala pada bahagian kiri kanannya ditutup dengan menggunakan aluminium nipis dan lantai pentas kecil di hadapannya ditutup dengan kayu lapis nipis beserta 15 unit tiang bendera di tepi tugu tersebut.

Pada waktu malam tugu tersebut diterangkan dengan cahaya lampu kalimantang yang jika dinilai secara kasar harganya tidak sampai RM5,000.

“Ini suatu yang pelik bagaimana kos tugu tersebut boleh mencecah RM352,000,” ujarnya.

Beliau difahamkan pembaziran juga berlaku semasa majlis makan malam pelancaran tugu 1Malaysia tersebut di mana kos berjumlah RM600,000 telah digunakan semata-mata untuk menampung kos makan malam bersama Najib.

Katanya, hasil tinjauan setelah 16 bulan tugu tersebut dilancarkan, ia berada dalam keadaan yang menyedihkan yang mana terdapat kesan koyak pada kanvas tugu tersebut, pada bahagian lantai pentas tugu tersebut yang diperbuat daripada kayu telah patah dan terdapat kesan-kesan karat pada kerangka besi tugu tersebut (gambar kiri).

Ini, katanya suatu pembaziran yang ketara dilakukan oleh kerajaan negeri di saat rakyat negeri Melaka terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barang.

“Bayangkan kos pembinaan dan kos makan malam tersebut sahaja sudah berjumlah RM952,000 iaitu satu jumlah yang mampu menampung orang-orang miskin di Melaka,” katanya.

Baru-baru ini rakyat Melaka juga telah dibebani dengan kenaikan 20 % harga air yang meningkat bermula 1 April lalu.

Ia, ujarnya suatu lagi bebanan yang terpaksa ditanggung di saat kerajaan negeri sendiri mampu berbelanja besar untuk membina sebuah tugu yang tidak memberikan manfaat besar pada rakyat.

Katanya, kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Datuk Seri Ali Rustam seharusnya memikirkan tentang nasib rakyat yang terkesan dengan kenaikan pelbagai barang.

Sebelum ini, ujarnya pembinaan tugu 1Malaysia ini menjadi isu agama di mana pembinaan tugu tersebut dikhuatiri mengandungi unsur-unsur pemujaan.

“Sebelum ini juga dewan pemuda PAS Negeri Johor telah membangkitkan isu ini dengan menggesa kerajaan persekutuan menyatakan pendirian berkenaan tugu tersebut,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya juga berpendapat agar pembinaan tugu 1 Malaysia tidak di lakukan jika ia mengandungi unsur-unsur pemujaan yang membawa kepada syirik.

Beliau berkata, adalah malang bagi rakyat Melaka dengan pembinaan tugu 1Malaysia tersebut kerana rakyat bukan sahaja terpaksa menanggung bebanan hidup yang tinggi atas pembaziran ketara kerajaan negeri malah terpaksa menanggung risiko kemungkinan tergelincirnya aqidah umat Islam disebabkan pembinaan tugu tersebut andainya mengundang unsur-unsur pemujaan.

Tiada ulasan: