Tidak
ramai yang menyedari lokasi sebuah pusat taman rekreasi Mimaland yang
pernah beroperasi suatu ketika dahulu. Walaubagaimanapun taman itu
telah ditutup atas beberapa kes mahkamah yang dihadapi.Kisah Di Sebalik
Penutupan Mimaland | Bagi yang lahir pada tahun 80-an mungkin
mengingati sebuah taman rekreasi yang cukup popular suatu ketika
dahulu. Taman rekreasi yang terkenal pada era 1980-an ini dikenali
sebagai Mimaland mula dibina dalam tahun 1971. Nama Mimaland yang agak
unik itu sebenarnya adalah singkatan daripada gabungan perkataan
Malaysia In Miniature Land. Ia dibina di sebuah kawasan berbukit seluas
300 ekar di Ulu Gombak tidak jauh dari Kuala Lumpur. Pembinaan
Mimaland dibuat dalam beberapa fasa dan dibuka secara berperingkat.
Fasa
pertama Mimaland yang siap dalam tahun 1970-an mengandungi 24 buah
motel dan 5 buah chalet serta sebuah kolam renang.Antara tarikan utama
Mimaland pada peringkat awalnya ialah ‘taman haiwan prasejarah‘ yang
mengandungi binaan model-model dinosaur bersaiz besar yang begitu
mengagumkan para pengunjung ketika itu. Beberapa buah filem tempatan
pernah membuat penggambaran di situ.
Pada 1984
Mimaland memperkenalkan pula satu lagi tarikan terbarunya iaitu kolam
renang yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara, dan semestinya papan
luncur air gergasi yang sangat tinggi yang begitu digemari oleh ramai
pengunjung. Selain itu Mimaland juga mempunyai beberapa lagi bahagian
lain, antaranya ialah sebuah tasik untuk aktiviti bersampan dan
memancing, kawasan ‘giant maze’, serta kawasan untuk merentas rimba.
Setelah
bertahun-tahun Mimaland menceriakan hidup ramai orang, sesuatu yang
tidak diingini berlaku juga. Satu kemalangan telah terjadi di kawasan
papan luncur air gergasi Mimaland pada Januari 1993 yang menyebabkan
kematian seorang warganegara Singapura berusia 27 tahun. Kejadian
malang itu mengejutkan orang ramai hingga memaksa pihak Mimaland
menutup sementara kawasan yang terlibat iaitu kolam renang dan papan
luncurnya bagi dilakukan kerja-kerja penambahbaikan. Pada Mei 1994
pula, berlaku kerosakan pada dinding kolam renang yang sama yang
berpunca daripada kejadian kecil tanah runtuh hingga menyebabkan air
lumpur memasuki kolam renang tersebut. Sekali lagi, kawasan tersebut
ditutup kepada orang ramai.
Pihak
pengurusan Mimaland kemudiannya telah diseret ke mahkamah oleh beberapa
pihak termasuk agensi kerajaan di atas beberapa dakwaan kesalahan,
antaranya ialah kelemahan dalam kawalan keselamatan, serta menjadi
punca kepada beberapa masalah alam sekitar. Sepanjang pendakwaan kes
tersebut pihak mahkamah telah menghalang Mimaland daripada meneruskan
operasinya. Akibat tidak dapat lagi bertahan tanpa beroperasi, Mimaland
akhirnya terpaksa menutup terus pintunya buat selama-lamanya pada
1994.
1 ulasan:
Saya sebagai rakyat malaysia ingin menyarankan kepada pihak kerajaan dan pihak pihak tertentu supaya membina semula kegemilangan taman tema mimaland sebagai aktiviti pelancongan negara. Adalah amat merugikan negara kerana tempat tempat sebegini dibiarkan begitu sahaja kerana khazanah negara seperti Mimaland ini akan hanya tinggal kenangan jika tidak di teruskan kerana ramai anak anak muda sekarang yang tidak mengetahui tentang kewujudan taman tema ini...
Catat Ulasan