Zed Zaidi
Memperoleh kemenangan majoriti sebanyak 152 undian, Zed secara rasminya memegang teraju Seniman yang sebelum ini di bawah pucuk pimpinan, pelakon dan pelawak senior, Harun Salim Bachik.
Namun, belum sempat Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil, memberikan sebarang khidmat dalam jawatan, timbul pula pelbagai kontroversi sekali gus mempertikaikan pelantikan itu. Diterajui pemimpin muda, pelbagai dakwaan mula bertebaran termasuk pemilihan dan mesyuarat AGM 14 dikatakan tidak telus.
Bagaimanapun, Setiausaha Seniman, Syed Nahar Syed Mokhtar, dalam satu kenyataan media memberitahu, mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang tidak berpuas hati dan cuba menaburkan fitnah.
Tidak berakhir di situ, kemelut dalaman dan pergolakan Seniman semakin tegang apabila Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV) bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Hulu Klang kerana mendakwa AGM14 tidak sah.
Wakil PKAV yang juga bekas Bendahari Seniman, Abu Bakar Omar, 63, berkata, pihaknya membuat laporan polis itu selepas berbincang dengan lebih 30 artis veteran demi menegakkan keadilan.
Antara artis veteran yang turut serta, Seniwati Mariani, Kuswadinata, Zulkifl i Zain, Datuk Aziz Satar, Kismah Johar, Sharifah Aminah, Sabree Fadzil dan Halil Chik.
Keadaan semakin parah apabila, Zed mula mengasak PKAV dengan mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook dan blognya dengan menganggap tindakan kumpulan artis veteran itu tidak ubah seperti 'fi raun kecil'. Memandangkan isu ini makin hebat diperkatakan dan menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan pelbagai pihak, Zass turut mendapatkan penjelasan daripada Zed sendiri selaku ahli tertinggi persatuan.
ZASS : Konfl ik dalaman ini agak serius, sedangkan anda baru saja dilantik sebagai presiden. Kredibiliti anda pastinya terjejas. Boleh anda jelaskan apa yang berlaku?
ZED : Saya tidak tahu apa tujuan mereka menuntut AGM14 dibatalkan sedangkan mereka tidak menggunakan saluran yang betul. Saya mengetahui perkara itu melalui media. Sekiranya ada perkara yang mereka rasakan tidak betul dan patut disuarakan, ia harus melalui saluran yang betul berdasarkan undang-undang. Saya tak kata yang mereka tidak boleh membantah, cuma cara mereka agak keterlaluan. Saya bukanlah seorang yang kejam sehingga meminggirkan pandangan orang lain. Saya masih boleh berbincang secara profesional mengenai perkara ini. Lagipun, ini adalah konfl ik dalaman, tidak perlu diperbesarkan seperti ini.
ZASS : Perkara ini berlaku selepas anda dilantik sebagai presiden. Pasti anda dipersalahkan....
ZED : Sebelum ini, presiden lain pernah melalui perkara yang sama. Ia bukan hanya berlaku kepada saya seorang dan saya pasti, ia didalangi oleh individu yang sama. Saya tidak tahu apa motifnya dan jelas sekali dia mempunyai agenda dan kepentingan peribadi. Sepatutnya, mereka yang lebih berpengalaman dan arif mengenai perkara sebegini. Tapi apa yang saya lihat, mereka hanya bertindak mengikut emosi. Jangan kerana perkara kecil yang diperbesarkan seperti ini akan merosakkan keharmonian persatuan.
ZASS : Bagi segelintir pihak anda sudah gagal menerajui Seniman. Adakah perkara ini akan melemahkan semangat anda untuk meneruskan kepimpinan?
ZED : Saya tidak rasa lemah dan perlu melangkah ke belakang kerana saya dipilih dengan undian majoriti sebagai pemimpin. Seperti yang saya beritahu, ini adalah konfl ik dalaman yang hanya perlu diselesaikan antara ahli persatuan. Tidak perlu membabitkan persatuan lain seperti PKAV. Ini memang tak masuk akal kerana ia boleh diibaratkan seperti orang datang ke rumah kita dan minta kita keluar dari rumah itu. Memang perkara ini tidak patut berlaku dan saya sendiri tidak faham, apakah prosedur yang mereka gunakan. Bagi saya, selagi mahkamah tidak membatalkan AGM14, selagi itulah saya akan terus berkhidmat dan memperjuangkan Seniman.
ZASS : Persatuan Kebajikan Artis Veteran (PKAV), mendakwa mereka tertipu dan dipinggirkan ahli muda. Malah mereka juga merasa AGM kali ini membelakangi mereka kerana tidak ada jemputan rasmi. Apa komen anda?
ZED : Ia adalah tuduhan tidak berasas. Saya sendiri yang membuat salinan surat pemberitahuan mengenai AGM14 dan menghantar kepada semua ahli. Bagaimana pula boleh timbul isu tidak menerima surat daripada kami? Sedangkan pada mesyuarat baru-baru ini, mereka yang terlibat dalam membuat laporan polis itu menghadiri AGM14. Namun, ada juga kes yang ahli tidak dapat dihubungi kerana telah berpindah alamat. Jadi, setiap ahli yang hadir, saya akan memperbaharui maklumat dan butir-butir diri agar mereka tidak ketinggalan dalam apa jua program dan pengisian Seniman.
ZASS : Bagaimana pula dengan kenyataan 'pedas' anda bahawa mereka tidak ubah seperti 'fi raun kecil'. Tidakkah ia hanya mengeruhkan keadaan?
ZED : Tindakan mereka terus menghebahkan kepada media dan orang ramai tanpa melalui prosedur betul menyebabkan saya mula rasa tersinggung. 'Firaun kecil' yang saya maksudkan adalah tindakan mereka yang dilihat sangat kejam sedangkan saya tidak sempat berbuat apa-apa selepas lantikan. Apakah itu perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang lebih berpengalaman? Saya bukanlah mahu mereka menghormati saya dan tunduk kepada apa jua arahan, namun apa salahnya jika mereka berbincang terlebih dahulu sebelum bertindak. Jangan memandang saya seolah-olah saya tidak tahu apaapa kerana usia saya.
ZASS : Apa strategi anda selepas ini untuk menyelesaikan perkara ini?
ZED : Buat masa ini, saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kerana tiada pengesahan dan surat daripada mana-mana pihak. Jika perkara ini boleh diselesaikan melalui perbincangan, saya menerima dan sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada mereka. Ini hanyalah masalah dalaman dan hanya perlu diselesaikan antara ahli sahaja.
ZASS : Sebagai presiden baru, apa harapan anda untuk memastikan pucuk pimpinan muda tidak menimbulkan sebarang ketegangan antara ahli dan AJK?
ZED : Semestinya saya harapkan yang terbaik dalam tempoh ini. Saya tidak mahu ada anasir luar yang merosakkan hubungan antara artis baru dan lama/ veteran. Saya terbuka terima kritikan dan pandangan daripada sesiapa sahaja. Jika saya rasakan perkara dibangkitkan itu ada kebenarannya, saya akan mempertimbangkannya. Berilah peluang kepada saya buktikan kalangan muda juga mampu menerajui persatuan. Jangan terburu-buru dalam menghakimi sesuatu perkara tanpa mendengar penjelasan dari pihak kedua. Saya tidak pernah mengetepikan golongan veteran kerana jika tiada yang lama, manakan ada yang baru. Jadilah orang lama yang boleh diangkat sebagai 'ikon' untuk golongan pelapis.
Tiada kaitan PKAV: Aziz Sattar
Selesaikan di meja rundingan: Freddie Fernandez ‘Penyakit’ dalam setiap persatuan: Jurey Latiff TAMPIL bersama ketika ahli veteran Seniman membuat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati, Datuk Aziz Sattar, menegaskan bahawa perkara itu tiada kaitan dengan Persatuan Kebajikan Artis Veteran.
Menurut Aziz Sattar yang juga Timbalan Presiden PKAV, kesemua ahli yang tampil pada ketika itu adalah ahli Seniman sejak dahulu lagi. "Ini tiada kena-mengena dengan PKAV, jangan sesekali menuduh kami di bawah nama PKAV kerana kami ahli Seniman seumur hidup. Jangan terlalu lantang bersuara jika tidak pernah cuba untuk mengkaji sejarah penubuhan Seniman.
"Sepatutnya, dia (Zed) kena baca dulu undang-undang sebelum melakukan sesuatu perkara. Kami tidak pernah mempertikaikan kemenangannya dalam menerajui persatuan, tetapi kami hanya ingin menegakkan keadilan dalam AGM14.
"AGM14 tidak sah kerana tidak mempunyai dua perkara penting, minit mesyuarat dan pembentangan buku perbelanjaan tahunan 2011. Kemudian, timbul pula dakwaan tidak logik yang mengatakan minit mesyuarat dirompak," katanya.
Dalam pada itu, Aziz turut mendedahkan mengenai pengunduran, Datuk Mustafa Maarof, untuk jawatan presiden di saat akhir. "Dia tarik diri kerana tidak mahu dianggap bersubahat dalam perkara ini. "Pemilihan lantikan kali ini dibuat secara 'pancing undi' dengan mengedarkan risalah dan maklumat mengenai individu yang sepatutnya menerajui pucuk pimpinan," ujarnya. Menyentuh mengenai pelantikan Zed Zaidi sebagai presiden Seniman, Aziz berkata, dia tidak kisah mengenai pelantikan itu. Namun dia kecewa apabila Zed menyelar mereka sebagai 'firaun kecil'.
"Saya mohon, dia menarik balik semua tuduhan dan kenyataan yang tidak berasas itu kerana ia sama seperti 'tepuk air di dalam dulang, terkena muka sendiri'. "Mengenai ungkapan 'firaun kecil' kepada kami, saya yakin, manakan ada firaun kecil jika tiada firaun besar," katanya lagi.
Selesaikan di meja rundingan: Freddie Fernandez
HANYA mahukan penyelesaian yang terbaik dalam kepimpinan Seniman, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, berharap agar kemelut dalaman yang berlaku dapat diakhiri dalam masa terdekat. Katanya, perkara sebegitu bukanlah perkara baru dalam persatuan dan ia hanya boleh diselesaikan secara baik menerusi meja rundingan. "Kemelut dalaman hanya akan merugikan sesebuah persatuan. Bagi saya, tidak kira tua atau muda, pucuk pimpinan perlulah mendapatkan kepercayaan dan sokongan majoriti daripada ahli.
"Bukan senang memegang jawatan sebagai presiden kerana segala beban dan masalah akan berada di bahu kita. Jadi, berusahalah untuk mendapatkan keyakinan semua pihak sepanjang tempoh itu.
"Konflik ini akan berjaya diselesaikan sekiranya masing-masing bersedia mendengar dan menerima pandangan dari semua pihak," katanya.
‘Penyakit’ dalam setiap persatuan: Jurey Latiff
SEMENTARA itu, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafi m), Jurey Latiff Rosli, melahirkan rasa bimbang sekiranya kemelut dalaman yang berlaku tidak dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik. Katanya, memandangkan Seniman adalah persatuan tertua dan ditubuhkan 38 tahun lalu, dia merasakan permasalahan yang timbul di kalangan ahli mungkin menyebabkan kepincangan yang semakin parah sekiranya tidak diakhiri dengan perbincangan dua pihak.
“Perbalahan sesama ahli sudah menjadi ‘penyakit’ dalam setiap persatuan. Setiap kali pemilihan, mesti wujud percanggahan dan sebagainya. “Namun, sebagai ahli yang sayangkan persatuan, kita harus bertindak secara relevan dan tidak terburu-buru sehingga menyebabkan perkara ini dibawa ke peringkat tertinggi.
“Sepatutnya, perkara ini hanya melalui perbincangan dua pihak sahaja tanpa melibatkan orang luar. Jangan hanya kerana tindakan agresif sebilangna pihak akan menyebabkan persatuan dihapuskan dan dibubarkan seperti mana yang berlkau pada persatuan sebelum ini,” katanya yang turut mencadangkan agar mesyuarat tahunan persatuan perlu menjemput pihak berkecuali.
Saya boleh menerima sesiapa sahaja yang dipilih untuk memimpin. Ketika saya membuat keputusan untuk meletak jawatan, saya sudah bersedia menerima apa sahaja kemungkinan yang timbul. Kita tidak boleh mempertikaikan kemenangan Zed kerana dia dipilih berdasarkan undian majoriti. Lagipun, negara kita demokrasi dan undian dibuat secara rela dan mengikut kehendak sendiri, tiada paksaan. Namun, buat masa ini, saya tidak dapat memberi apaapa penjelasan kerana sedikit masa lagi, Zed bersama Ahli Jawatan Kuasa (AJK) akan tampil membuat sidang media. Saya akan hadir bersama dan jelaskan situasi yang berlaku." - Harun Salim Bachik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan