HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Jun 2012

Najib dakwa pembangkang amal 3 nilai buruk

SINAR HARIAN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
 
 
KUALA LANGAT - Rakyat tidak boleh berharap kepada pembangkang untuk menentukan masa hadapan mereka kerana pembangkang mengamalkan nilai buruk iaitu janji tidak perlu ditepati, budi tidak perlu dihargai dan hutang tidak perlu dibayar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, janji pembangkang tidak ditepati kerana ia merupakan janji politik manakala budi tidak perlu dihargai kerana mereka merasa sakit hati melihat bantuan demi bantuan yang dihulurkan Barisan Nasional (BN) kepada rakyat.

Pembangkang juga mencadangkan kepada rakyat supaya hutang tidak perlu dibayar dan ini merupakan nilai buruk pembangkang kerana hutang wajib dibayar menurut ajaran Islam, katanya semasa berucap melancarkan Program PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) Ku Sihat peringkat kebangsaan di Kampung Sungai Bumbun di sini hari ini.

"BN boleh tentukan masa depan yang penuh harapan untuk rakyat Malaysia khususnya di Selangor. Saya percaya Parlimen Kuala Langat boleh dimiliki semula oleh Barisan Nasional," katanya.

Mengenai program hari ini, Najib berkata kerajaan mengambil berat tentang kesihatan keseluruhan rakyat Malaysia termasuk golongan kurang upaya (OKU) menerusi program PDK Ku Sihat anjuran BAKTI, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia dan Yayasan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri berkata melalui program itu, Kementerian Kesihatan akan melakukan lawatan ke semua PDK seminggu atau sebulan sekali.

Oleh itu, beliau berharap para ibu bapa yang mempunyai anak daripada golongan OKU supaya jangan malu untuk mendaftarkan anak mereka supaya dapat diberi bantuan menerusi Program PDK Ku Sihat.

"Mereka (Kementerian Kesihatan) akan buat pemeriksaan kesihatan, fisioterapi, mereka akan beri ceramah mengenai penjagaan kesihatan, pencegahan dan lain-lain lagi," katanya.

Buat masa ini, beliau berkata terdapat lebih 20,000 orang OKU yang berdaftar daripada 428 PDK di seluruh negara.

Najib berkata OKU memerlukan bantuan dan pertolongan supaya mereka boleh menjalani kehidupan dengan nilai maruah diri yang boleh mereka banggakan dan bukannya hendak menagih simpati sepanjang hidup.

Tiada ulasan: