| Aslani M, |
KOTA BHARU: Pensyarah UIAM, Dr Maszle Malik tidak yakin ada peranan kuasa ketiga dalam menentukan kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya kerana setiap orang ada kecederungan berpolitik sendiri.
Katanya, biar pun sebelum ini Presiden Jalur Ketiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali menggambarkan kepentingan kuasa ketiga, namun sebenarnya semua orang ada kecederungan mereka sendiri.
“Hanya ada satu pilihan sahaja iaitu parti yang menguasai kerajaan sekarang atau pembangkang. Kalau orang Melayu lebih banyak bergantung kepada bantuan kerajaan, dan dalam pilihan raya mereka ada pilihan sendiri.
“Misalnya berdasar kepada kajian didapati pengundi yang disifatkan ada di atas pagar sekitar 30 hingga 40 peratus, namun mereka tetap akan memilih parti yang memberi manfaat kepada diri mereka,” katanya pada program Bual Bicara anjuran kerajaan negeri di Balai Islam malam semalam.
Tiga lagi panelis iaitu anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah, bekas Presiden Abim, Dr Yusri Mohamad dan Timbalan Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Fauzi Asmuni.
Ketua Editor Harakahdaily, Zulkifli Sulong bertindak sebagai moderator. Dewan Balai Islam penuh dengan kehadiran anak-anak muda. Motosikal dilihat berderetan di ruang parkir.
Hadir sama anggota Exco, Dr Mohammad Fadzli Hassan dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Ahmad Baihaki Atiqullah.
Dr Maszle berkata, beliau lebih percaya kepada kuasa rakyat berbanding dengan apa yang disifatkan sebagai kuasa ketiga.
“Kalau hendak dikira kuasa ketiga, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Majlis Peguam Malaysia lebih awal bertindak sebagai kuasa ketiga pada pilihan raya umum lalu.
“Namun PSM bertanding di atas tiket PKR pada pilihan raya umum lalu di kerusi Sungai Siput, Perak,” katanya.
Beliau disifatkan penonton satu idealisme dengan Mohd Amar bertentangan dengan Dr Yusri dan Fauzi yang memperlihatkan kecederungan mengambil jalan tengah.
Bagaimanapun pendirian bekas Presiden Abim dan wakil Isma tidak disenangi ramai penonton sehingga mereka membebel di belakang ketika kedua-dua sedang berhujah.
Ketika awal hujahan Dr Maszle menyifatkan ruang bual bicara, debat atau wacana merupakan proses ke arah lebih memantangkan pemikiran rakyat Malaysia.
Debat penting kepada semua parti yang bertanding. Dan ia selari dengan ajaran Islam.
“Apa yang ada di Kelantan sekarang begitu unik sekali. Bandar Raya Islam pertama di Malaysia ada di Kota Bharu. Menteri Besar juga unik tidak serupa dengan Menteri Besar di tempat lain.
“Begitu juga baginda Sultan yang ada sekarang begitu unik dilihat lebih soleh. Oleh itu rakyat Kelantan perlu mempertahankan keunikan yang ada sekarang,” katanya.
Zulkifli ketika menutup bual bicara itu mempamerkan perangkaan hasil kajian Universiti Malaya mendapati kuasa muda menjadi penentu penting pemenang dalam pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan