HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Jun 2012

Lagi bekas pegawai tertinggi kerajaan sertai PAS


KUALA LUMPUR— PAS dilihat semakin agresif dalam merekrut bekas kakitangan tertinggi kerajaan menyertai parti Islam itu apabila bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu malam tadi.

Ahmad Zabidi Shamsuddin malam tadi menyerahkan borang menyertai PAS kepada Mursyidul AM PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat ketika Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak,semalam.

Zabidi sebelum ini pernah berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun, dengan 10 tahun beliau diletakkan di Kementerian Pelajaran.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah.

Dalam ucapannya semalam, Zabidi berkata, sepanjang beliau berkhidmat di kementerian pelajaran, pelbagai kezaliman dan penindasan berlaku, seperti kuasa politik pemerintah telah menguasai pentadbiran kerajaan.

“Orang yang  tidak menyokong BN akan dikenakan tindakan dan mereka ditukarkan jauh dari tempat asal,” kata Zabidi di hadapan 30 ribu hadirin malam tadi.

Ujarnya lagi, tindakan itu semata-mata guru tersebut tidak sehaluan dengan kerajaan dan bukannya melakukan kesalahan yang berat.

“Mereka yang ditukar itu bukanlah atas arahan Pengarah Pelajaran tetapi tindakan tersebut atas desakan oleh pemimpin Umno dan BN,” jelasnya.

Zabidi dalam ucapannya malam tadi turut menjelaskan, tindakan memindahkan kakitangannya seperti ini masih berterusan dan lebih giat dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran atas arahan oleh Umno dan BN.

Atas dasar perjuangan Umno yang menurutnya hanya berkisar sekular ciptaan manusia, Zabidi menjelaskan, itu menjadi pendorong dan faktor dirinya mengambil keputusan untuk menyertai PAS.

Turut menyerahkan borang keahlian PAS ialah AJK Umno Bahagian Gopeng Tuan Haji Nazri Nordin, yang telah menjadi ahli selama lebih 30 tahunkini hilang keyakinan dan melihat perjuangan PAS adalah benar serta mewarisi perjuangan Rasulullah.

PAS dilihat mula merekrut golongan professional bekas pegawai kerajaan untuk menyertai parti tersebut bagi membolehkan mereka menerima sokongan pengundi Melayu dengan pilihan raya yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Sebelum Zabidi, Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof telah pun menyertai PAS awal bulan lalu.

Nik Zain telah menjawat jawatan sebagai KSU sejak 1998 hingga 2002 di kementerian tersebut.

Sebelum ini, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari  telah menyerahkan borang keahlian PAS secara rasmi.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam PAS itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Semasa menjadi Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya berkenaan.

Penyertaan Fauzi itu dilihat adalah antara nama besar yang menganggotai parti Islam tersebut yang memulakan kempen merekrut tokoh ternama untuk meningkatkan undi dalam pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: