Saifuddin Abdullah menyampaikan hujahnya pada Debat Sinar yang diadakan di Auditorium Kompleks Media Karangkraf, Shah Alam, malam ini.
SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah
menolak keras demonstrasi jalanan adalah cara yang terbaik untuk
mengukuhkan demokrasi kerana pendekatan sedemikian hanya boleh
mengganggu ketenteraman awam dan hak rakyat.
“Demonstrasi jalanan jelas memberi impak negatif kepada orang ramai dan
komuniti sekitar kawasan yang terlibat seterusnya menjadi punca kepada
kekacauan berlaku apabila demonstrasi jalanan (diadakan),” kata beliau
ketika berhujah pada Debat Sinar bertajuk “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh
Atau Mengukuh Demokrasi" di sini, malam ini.
Beliau memberi contoh insiden yang terjadi ketika perhimpunan Bersih
3.0 April lalu, pelbagai jenis risiko seperti kecederaan boleh berlaku
khususnya ke atas mereka yang menyertai demonstrasi jalanan.
Justeru, beliau menyeru kepada orang ramai untuk mengukuhkan demokrasi di kalangan rakyat negara ini melalui pelbagai cara.
“Kita seharusnya menjadi lebih liberal dengan meggunakan medium media baru seperti Twitter, Facebook dan mengadakan perundingan untuk mencapai dan mengukuhkan demokrasi dalam negara kita,” katanya.
Beliau turut bertegas agar rakyat perlu mengukuhkan demokrasi dengan cara menguasai ilmu pengetahuan dan beliau turut mengimpikan agar dapat memajukan anak bangsa Malaysia.
“Walau
bagaimanapun demokrasi perlu dikukuhkan dengan cara yang lebih matang
dan progresif agar negara kekal aman dan untuk mencapai misi ini, kita
mesti mempunyai cara tersendiri,” kata beliau ketika membalas hujah Naib
Presiden Pas, Salahuddin Ayub.
Jelas
beliau, demonstrasi jalanan tidak sepatutnya diadakan kerana rakyat
sendiri perlu tahu menggunakan ruang dan medium lain bagi menyuarakan
sebarang perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan yang memerintah.
“Jika
ada sebarang perbezaan pendapat dalam politik, kita perlu menggunakan
cara debat atau berbincang secara baik, jika ada sebarang kesilapan,
kita boleh betulkan bersama-sama secara sopan, bukan menggunakan emosi,”
tegas beliau.
“Kita
menolak sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan ini kerana kerajaan sedia
maklum dan bertanggungjawab kepada kebajikan rakyat. Kita tidak mahu
gadaikan keselamatan orang awam dengan mengadakan sebarang demonstrasi
jalanan,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini.
Beliau
yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, beliau sendiri
tidak nampak sebarang bentuk penyelesaian masalah dengan mengadakan
demonstrasi jalanan ini kerana ia jelas tidak dapat mengukuhkan
demokrasi.
Debat Sinar berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam itu dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.
Debat Sinar ini, yang kedua dianjurkan oleh Sinar Harian, bertajuk "Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi".
Debat Sinar pertama diadakan bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan