Oleh Dinsman |
Tapi isu di sini sebenarnya apa? Kenapa Syabas menyalahkan kerajaan negeri dan kerajaan negeri salahkan Syabas dan Kerajaan Pusat pun salahkan Kerajaan Negeri – ini sebenarnya kenapa? Apa isu sebenarnya di sini? Kenapa masing-masing nak salahkan pihak yang lain itu?
Cuba kita lihat bagaimana isu ini mula terjadinya. Setahu saya, dan setakat yang saya boleh faham (sebagai seorang rakyat biasa yang tidak arif mengenai selok-belok kontrak perjanjian dalam penswastaan air di Selangor ini, yang dibuat sebelum Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Selangor), isu ini bermula apabila kerajaan PR pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim membuat keputusan memberi air percuma (sebanyak 20 meter padu) setiap bulan kepada rakyat Selangor.
Itulah mulanya. Kenapa saya kata itulah mulanya? Kerana tindakan Khalid Ibrahim itu jelas bertentangan dengan semangat dan falsafah pemerintahan kerajaan Umno-BN yang sentiasa mengintip peluang untuk mengkayakan kroni-kroni mereka.
Pihak pimpinan Syabas (yang gaji CEOnya saja pun dikatakan lebih setengah juta RM setiap bulan) tentunya sudah dapat menghidu berita buruk yang bakal menimpa masa depan mereka.
Dari situ lagi – titik mula tercetusnya apa yang dikatakan krisis air di Selangor ini – kita sepatutnya sudah boleh membaca apakah sebenarnya isunya. Isunya bukan krisis air. Isunya ialah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dibawa oleh pimpinan Khalid.
Khalid Ibrahim dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor itu. Dasar itu adalah satu penampar kuat di muka pimpinan Umno-BN. Dan gegaran dari tamparan itu paling kuat dirasakan pada penswastaan.
Maka sejak itu lagi pimpinan Syabas sudah merasakan bangunannya sudah mulai bergoyang (dan akan runtuh).
Dan apabila Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu Air Selangor yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan Selangor untuk mengambil alih Syabas, Isnin 23 Julai lalu, keputusan itu memang sudahpun dijangka.
Tak mungkin kerajaan Umno-BN (yang sudah merasa tamparan Khalid di mukanya itu) akan bersetuju dengan cadangan kerajaan PR Selangor itu.
Sebab apa tak setuju? Pertama, kalau dia setuju bererti awal-awal lagi dia sudah mengaku kalah.
Dia mengaku yang Syabas gagal menjalankan tugas (seperti dalam perjanjian), seperti yang didakwa oleh Khalid, dan dia mengaku akan kelemahan sebuah syarikat besar yang selama ini menjadi harapan mereka (Umno-BN) dalam beberapa tujuan yang bersifat politik dan kewangan.
Kedua, kalau dia setuju bererti dia mengaku kalah kepada Tan Sri Khalid dalam persaingan politik. Seperti disebut di atas tadi, isu ini sebenarnya bukan isu air tetapi isu dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) lawan dasar Penswastaan kerajaan Umno-BN, (yang dipelopori oleh Dr Mahathir), yang satu demi satu menampakkan kegagalannya, sekali gus membuktikan kelemahan dan kesilapan pimpinan Umno-BN.
Ini sebenarnya bukan isu kecil, dan bukan juga isu besar sebesar RM8.65 bilion (nilai loji Langat 2 yang dijadikan tumpuan dalam krisis antara kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan pusat) itu sahaja. Nilai dan makna serta implikasi politik yang sebenar daripada isu yang berpusat pada krisis air Selangor ini adalah jauh lebih besar daripada itu.
Pada mulanya ia mungkin hanya isu perniagaan dan kewangan, iaitu jangkaan pendapatan Syabas yang akan merosot disebabkan keengganan kerajaan Selangor kepada beberapa rancangan dan cadangan Syabas, seperti pembinaan loji Langat 2 dan kenaikan tarif air. Maka pihak Syabas pun menjalankan kempen di media awam bagi meyakinkan orang ramai terhadap krisis air yang semakin meruncing, yang akan dihadapi oleh rakyat Selangor sekiranya kerajaan negeri terus enggan meluluskan cadangan Syabas itu. Tujuan kempen tersebut ialah untuk memberi tekanan kepada kepimpinan Khalid Ibrahim supaya bersetuju dengan cadangan Syabas berkenaan. Itu sahaja.
Mereka menjangkakan Khalid akan tertekan, kerana mereka menggunakan strategi dan taktik bermain dengan emosi dan kerisauan rakyat, apatah lagi di musim yang semakin hampir dengan Pilihan Raya Umum Ke- 13 ini. Nampak! Awal-awal lagi mereka sudah mempolitikkan isu ini.
Siapa yang lebih prihatin dengan keperluan dan kebajikan rakyat? Pakatan Rakyat pimpinan Khalid Ibrahim (dan Anwar Ibrahim) atau Umno-BN pimpinan Najib (yang dalam isu ini diwakili oleh tokoh perniagaan CEO syarikat Syabas itu)? Pelik ‘kan?
Di situ pun sudah nampak peliknya. Mereka (Umno-BN) mewakilkan orang bisnes dan syarikat yang bermotifkan keuntungan besar (lihat pada gaji CEO-nya saja pun sudah menggerunkan kita) untuk berlawan dengan sebuah kerajaan negeri, bagi meyakinkan rakyat – siapakah yang lebih prihatin dengan keperluan dan kebajikan rakyat.
Namun, walaupun langkah mereka itu pelik, tetapi agak menarik untuk diperhatikan oleh mereka yang berminat dengan perkembangan masyarakat.
Lihat bagaimana faktor ekonomi (perniagaan dan motif keuntungan kewangan) boleh mempengaruhi rakyat ramai dalam mengambil keputusan politik. Walaupin ia pelik, kita jangan pandang ringan kepada strategi dan taktik ini, kerana strategi dan taktik inilah yang sedang menguasai politik dunia hari ini.
Dan yang menariknya lagi di sini ialah – di pihak kerajaan negeri Selangor pula, yang dihadapi oleh pihak Umno-BN dan Syabas itu, secara kebetulannya dia juga adalah seorang tokoh korporat yang pernah dikenali kerana strategi Dawn Raidnya yang telah menggegarkan dunia bisnes di London kerana pengambilalihan syarikat Guthrie (daripada milik British kepada milik Malaysia), sewaktu dia menerajui PNB suatu ketika dulu.
Saya walaupun kurang menyenangi tokoh ini kerana sikapnya yang kurang mesra dengan seni budaya, namun dalam hal yang sedang dibicarakan ini saya amat yakin dengan kemampuannya. Bukan saja yakin, tetapi saya juga suka memerhati gerak dan langkahnya untuk mendapatkan kemenangan di pihaknya. Insya-Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan