HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Julai 2012

Rakyat menang, logo hodoh Merdeka 55 ditarik balik

 Roketkini.com




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sekali lagi menjadi juara setelah berjaya menundukkan kengkuhan kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang telah menarik balik logo hodoh sambutan 55 tahun Merdeka setelah mendapat bantahan orang ramai.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dilaporkan oleh agensi berita kawalan UMNO-BN, Bernama, hari ini bahawa tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan hari kebangsaan tahun ini.

Namun, beliau masih cuba menegakkan benang yang basah, sebagaimana petikan laporan Bernama, apabila berkata, “bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi”.

Rais bagaimanapun mengekalkan slogan “Janji Ditepati” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merangkap Presiden UMNO dan Pengerusi BN, sebagai tema hari kebangsaan tahun ini.

Beliau turut mempertahankan penggunaan slogan propaganda UMNO-BN sebagai tema hari kebangsaan itu atas alasan kerajaan UMNO-BN telah menunaikan janji-janji kepada rakyat.

Rais turut mencetuskan kontoversi apabila menjadi penulis lirik lagu sambutan Merdeka ke-55 itu yang antara lain liriknya menyatakan”janji sudah ditepati, kini masa balas budi” yang dilihat secara jelas mengungkit untuk menuntut undi daripada rakyat.

Lirik lagu”Janji Ditepati” itu juga menyebut tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia, iaitu program-program yang sedang dijaja oleh Najib melalui taburan projek dan duit dari peruntukan wang rakyat sebagai kempen pra-pilihan raya umum.

Justeru, rakyat bersama dengan Pakatan Rakyat telah membantah kerakusan kerajaan UMNO-BN yang amat terdesak sehingga mahu menjadikan sambutan Merdeka ke-55 sebagai acara khas untuk ahli dan penyokong UMNO-BN sahaja.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebelum ini telah menempelak Rais dengan mengingatkan menteri tersebiut bahawa sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia merupakan sambutan kebangsaan bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri atau pendirian politik.

Menurutnya, UMNO-BN telah merampas identiti dan simbol sebenar sambutan itu dengan memonopolikannya untuk kepentingan UMNO-BN sahaja.

“Jika UMNO-BN dibenarkan untuk merampas identiti dan simbol sambutan yang penting ini, adakah Rais mengaku bahawa Najib hanyalah Perdana Menteri bagi UMNO-BN dan bukan untuk semua rakyat Malaysia?” ujar beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: