HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2012

Jika yakin, Najib perlu buat PRU sekarang

RISWANDI RAZAK

TIAN CHUA
TIAN CHUA
 
SENG GIAW
SENG GIAW
 
 
SHAH ALAM - Pakatan Rakyat (PR) mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat, sekiranya yakin dengan kaji selidik peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap pentadbirannya yang dijalankan Merdeka Center.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, semua pihak perlu melihat secara keseluruhan kajian itu, yang turut menunjukkan penurunan sokongan pengundi Melayu dan India.

Menurutnya, walaupun kajian ini memberi sedikit implikasi, namun beliau tidak melihat peningkatan sokongan ini sebagai petanda besar yang mampu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

"Jika Najib yakin sokongan pengundi berdasarkan kajian ini, beliau wajar adakan PRU13 sekarang.

"Kesemua usaha Perdana Menteri hanya bersifat memancing undi semata-mata dan tidak memberi kesan sokongan jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap Najib daripada 37 peratus Mei lalu kepada 42
peratus bulan lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, Kajian Merdeka Center tidak semestinya memberi gambaran sebenar sokongan masyarakat Cina terhadap pentadbiran Najib.

"Kajian ini dilakukan ke atas responden terhad dan bukannya keseluruhan rakyat," katanya.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan beliau, masih ramai rakyat tidak berpuas hati pentadbiran Kerajaan Pusat.

"Kajian ini tidak semestinya tepat. Tidak wajar kita ambil sebagai keputusan muktamad," katanya.

Tiada ulasan: