Artis-artis
wanita khususnya mereka yang membuat keputusan untuk berhijrah dan
menukar imej dengan memakai tudung tidak wajar mengeluh jika berdepan
kesulitan untuk mendapatkan tawaran kerja.
Golongan itu seharusnya yakin
terhadap niat utama untuk berhijrah dan perlu mengelak daripada
memberikan kenyataan yang boleh mencemarkan imej mereka selepas membuat
keputusan untuk berubah.
Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly
berkata, sekiranya ada di kalangan artis yang baru bertudung sukar
untuk mendapat tawaran kerja kerana penghijrahan itu, individu tersebut
harus menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka.
“Jangan
pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita
bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana
Allah.
“Maka,
percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah
kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan
daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas
berhijrah.
“Bertudung dan menutup aurat itu tidak membebankan atau membatasi urusan seharian kita,” kata Sheila (gambar) ketika dihubungi mStar Online di sini.
Penerbit
eksekutif JS Pictures ini berkata demikian sebagai respons kepada
luahan dan rungutan segelintir artis wanita yang bertudung mendakwa
kurang mendapat tawaran seperti sebelumnya.
Malah
terdapat sesetengah artis yang tergamak memberi kenyataan sinis dengan
memburuk-burukkan pihak tertentu selepas menukar imej selain turut
menyertai parti politik pembangkang.
Berdasarkan
kepada pengalamannya Sheila berkata, kerjaya dan perniagaannya tidak
merudum sebaliknya dia menikmati kesan positif terutama sekali selepas
pulang daripada menunaikan ibadat Haji pada hujung 2007.
“Sudah
lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai
pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada
artis bertudung.
“Di
Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik
yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini
sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah
bertudung.
“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.
“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.
Bersifat sementara
Aktres
berpengalaman Aida Khalida pula berkata, senario tawaran lakonan yang
terjejas selepas bertudung hanya bersifat sementara kerana dia juga
tidak terlepas daripada pengalaman itu ketika mula bertudung kira-kira
empat tahun lalu.
“Bagi
saya, isu tawaran terjejas atau merosot adalah ujian Allah kepada artis
yang baru berhijrah. Ketika mula-mula bertudung empat tahun lalu, saya
pun hadapi perkara yang sama tetapi ia hanya sementara.
“Berkat
keyakinan, doa dan usaha Allah pasti bukakan pintu rezeki kepada kita.
Tawaran kerja yang konsisten atau terjejas tiada kaitan dengan
bertudung kerana ia adalah perkara wajib bagi wanita Muslim,” katanya.
Menurut
Aida, rezeki daripada pendapatannya menjadi lebih berkat berbanding
sebelum bertudung dulu kerana ia berterusan dan tidak pernah putus.
“Alhamdulillah,
pendapatan lakonan saya tidak terjejas, malah rezeki itu menjadi lebih
berkat sejak saya bertudung. Kalau sebelum ini, dapat sebanyak mana
pun wang pasti akan habis begitu sahaja tetapi sekarang rezeki itu
sentiasa ada.
“Susah saya hendak jelaskan sebenarnya tetapi itulah perkara terhebat yang saya peroleh berkat penghijrahan ini,” katanya.
Bekas pelakon dan pengacara yang kini bergelar aktivis bebas Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmo (Wardina) mengakui menerima impak negatif dan diskriminasi daripada industri seni ketika dia berhijrah sekitar 12 tahun lalu.
“Namun
saya sudah meletakkan sasaran untuk berundur diri daripada lakonan dan
beralih ke bidang pengacaraan ketika itu. Tidak saya nafikan, impak
diskriminasi saya alami ketika mula-mula bertudung tetapi ia hanya
perkara kecil dan sementara.
“Lama-kelamaan,
penggiat seni dan peminat semakin terbuka dan menerima penghijrahan
saya. Mungkin juga kerana saya sudah tidak mahu berlakon ketika
bertudung dulu, saya jadi tidak begitu kisah mengenai reaksi orang
kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.
Ujar
Wardina, jika seseorang artis wanita itu berhasrat untuk meneruskan
kerjaya dalam bidang seni selepas bertudung, dia harus bersabar dan
percaya pada rezeki yang ditetapkan Allah.
“Berhijab bukan kerana kita sudah sempurna iman atau terlalu baik tetapi kerana mahu menjadi manusia yang lebih baik.
“Jika di
kalangan artis bertudung mampu bertahan, teruslah berusaha mencari
rezeki yang berkat tetapi jika sebaliknya, maka beralihlah kepada
bidang yang lebih baik,” katanya.Sumber: Mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan