Oleh Sidiqin Omar
PETALING JAYA : Semakan ke atas perbelanjaan luar perancangan
dan belanja tambahan sesuka hati oleh Perdana Menteri berjumlah RM11.8
bilion mengatasi jumlah cukai eksais dan cukai import yang dikenakan ke
atas kereta.
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, jumlah itu meliputi
tiga kategori iaitu perbelanjaan di luar perancangan, peningkatan
belanja mengurus Jabatan Perdana Menteri(JPM) dan peningkatan belanja
pembangunan JPM.
“Contoh perbelanjaan di luar perancangan oleh Perdana Menteri
termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (RM2.6 blion), Bantuan Kembali Ke
Sekolah (RM530juta) dan Bantuan Buku 1Malaysia (RM260 juta).
“Begitu juga pelbagai skim membeli undi rakyat di bawah jenama
1Malaysia, serta pelbagai pengumuman peruntukan projek segera sepanjang
jelajah Janji Ditepati yang dianggarkan mencecah RM180 juta setakat
ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Menurut Rafizi, sejak Najib menjadi PM pada 2009, perbelanjaan mengurus dan pembangunan oleh JPM juga naik mendadak.
“Secara puratanya dengan membandingkan perbelanjaan di bawah
pentadbiran Tun Abdullah Badawi dengan purata perbelanjaan tahun-tahun
2009, 2010, 2011 dan peruntukan 2012, perbelanjaan mengurus JPM telah
melonjak sebanyak RM1.4 bilion, sementara perbelanjaan pembangunan
meningkat sebanyak RM4.6 bilion,” jelas Rafizi.
“Sebab itu KEADILAN yakin, rombakan struktur cukai ke arah memastikan
harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala
keborosan PM dihentikan,” katanya.
Tambah Rafizi, jumlah ini tidak termasuk pengumuman segera yang
dibuat Najib di setiap kawasan yang dilawatinya, sepanjang jelajah Janji
Ditepati.
“Ada tempat yang sepatutnya untuk mengagihkan duit ini kepada rakyat.
Bukannya mengumumkan peruntukan segera dengan menggunakan program Janji
Ditepati, seolah-olah duit ini, duit mereka,” tegas Rafizi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan mekanisme rombakan struktur cukai
secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais yang diganti
dengan sumber pendapatan baru akan diumum Ketua Umum KEADILAN, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
“Mekanisme ini akan diumumkan Datuk Seri minggu depan sekembalinya beliau dari ibadah umrah,” kata Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan