HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Julai 2012

Pegawai JAIS pecah rumah rosakkan nama Islam kata Dr. Asri


KUALA LUMPUR—  Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan kejadian pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang memecah masuk rumah seorang mangsa di Ampang Jumaat lalu sebagai merosakkan nama agama Islam.

Beliau menjawab soalan yang diajukan kepadanya berkenaan dengan kes pegawai JAIS pecah masuk rumah melalui akaun Twitternya, @realDrMAZA.

"Maksiat yang jelas tidak dicegah, yang tersembunyi pula hendak dicari.

"Islam tiada kaitan dgn tindakan seperti itu.

"Umar bin al-Khattab tidak memecah masuk rumah peminum arak kerana Abd Rahman bin Auf mengingatkannya bahawa Allah larang intip maksiat peribadi," kata Asri (gambar) dalam akaun Twitternya semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Ampang semalam, kira-kira hampir sepuluh orang pegawai JAIS memecah masuk rumah seorang penghuni yang dikatakan melakukan maksiat, walhal tidak ada kejadian sebegitu yang berlaku.

Pegawai JAIS itu menggunakan tukul menyebabkan kerosakan teruk kepada pintu pagar rumah mangsa.

Sementara itu, wakil dari Majlis Peguam dan aktivis "Perlembagaanku", Syahredzan Johan berkata, tindakan JAIS itu adalah sah dari segi undang-undang, menurut Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 yang membenarkan pegawainya memecah masuk tanpa waran.

Akan tetapi ia hanya boleh dilakukan sekiranya orang yang disyaki cuba melarikan diri.

Syahredzan berkata, walaupun Enakmen Negeri berkata demikian, undang-undang yang lebih tinggi iaitu Perlembagaan Persekutuan telah memutuskan bahawa terdapat hak privasi dalam Perkara 5, maka jelas sekali tindakan yang dilakukan oleh pegawai JAIS itu adalah salah dari segi Perlembagaan.

"Sekiranya mangsa merasakan bahawa haknya telah dicabul, dia sewajarnya membawa perkara ini ke Mahkamah untuk menuntut supaya kerosakan atau kerugian yang berlaku diberi pampasan oleh pihak JAIS.

"Walaupun JAIS mempunyai kuasa untuk memecah masuk ke dalam, persoalan yang harus ditujukan adalah adakah permintaan untuk masuk telah dibuat dengan sewajarnya?

"Jika mereka langsung tidak memohon masuk dan terus bertindak memecahkan pintu pagar, sudah tentu ianya tidak mengikut prosedur dan boleh dibawa ke Mahkamah," katanya lagi.

Syahredzan menambah, Enakmen Negeri ini boleh digubal oleh kerajaan negeri, maka sekiranya rakyat mahu ia dibuang, mereka boleh melobi untuk kerajaan negeri mengemukakan usul membuang peraturan ini.

"Ianya boleh dipinda dan dimansuhkan. Jika anda tidak bersetuju, anda harus lobi wakil rakyat anda untuk mengubah undang-undang ini," katanya melalui e-mail kepada The Malaysian Insider semalam.

Tiada ulasan: